Orang ramai membuat persiapan bagi menyambut hari raya ketika tinjauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada 10 April 2022. Mereka disarankan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga kluster baharu, 9,002 kes harian Covid-19 direkodkan semalam

SHAH ALAM, 13 APRIL: Sebanyak 9,002 kes harian Covid-19 direkodkan semalam, iaitu kekal di bawah paras 10,000 kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu 8,950 adalah kes tempatan dan 52 adalah kes import menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat semalam adalah 4,306,193 kes.

Katanya, sebanyak 16,986 kes sembuh direkodkan dan jumlah keseluruhan kes sembuh sehingga semalam adalah 4,180,763 kes.

“Setakat semalam, 288 individu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 2,675 pesakit dirawat di hospital dan daripada jumlah itu 54 pesakit di unit rawatan rapi (ICU) tidak memerlukan bantuan pernafasan manakala 97 kes lagi ICU memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Putrajaya dan Selangor mencatatkan penggunaan katil ICU melebihi 50 peratus, iaitu masing-masing 100 peratus dan 51 peratus, manakala bagi katil bukan ICU hanya Putrajaya merekodkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu 63 peratus.

“Sebanyak 394 kes dimasukkan ke hospital semalam dan daripada jumlah itu 162 kes atau 41.1 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5, manakala 232 kes lagi adalah kategori 1 dan 2,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit kes kategori serius iaitu 3, 4 dan 5 juga kekal rendah iaitu 67 atau 0.74 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) adalah 8,935 kes atau 99.26 peratus.

Berikut adalah pecahan pesakit mengikut kategori:

Kategori 1: 4,759 kes (52.87 peratus)
Kategori 2: 4,176 kes (46.39 peratus)
Kategori 3: 26 kes (0.29 peratus)
Kategori 4: 20 kes (0.22 peratus)
Kategori 5: 21 kes (0.23 peratus)

Sebanyak 30 kes kematian dilaporkan semalam termasuk enam kematian di luar hospital, manakala tiga kluster baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif setakat semalam adalah 117.


Pengarang :