Cuaca hujan lebat di sekitar ibu kota Kuala Lumpur pada 18 Julai 2020. Foto: BERNAMA
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Tujuh daerah di Selangor dijangka ribut petir, hujan hingga 7 malam

SHAH ALAM, 24 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri lain termasuk Selangor sehingga 7 malam ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan tersebut dijangka berlaku di negeri ini melibatkan daerah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Sepang serta seluruh Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka.

Manakala Kedah pula di Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak), Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang) serta Terengganu (Besut, Setiu dan Hulu Terengganu)

Pahang pula di Raub, Jerantut, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin; Negeri Sembilan (Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin) serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian dan Kulai).

Keadaan sama diramal di Sarawak melibatkan Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Mukah), Kapit, Bintulu (Tatau dan Sebauh) dan Limbang diikuti Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Tawau (Tawau dan Lahat Datu), Sandakan (Tongod dan Kinabatangan) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat)).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :