BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tujuh lokasi beli-belah di Selangor mesti dikunjungi sempena hari raya

SHAH ALAM, 27 APRIL: Masa untuk membeli-belah telah tiba, salah satu kemestian sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Selangor yang terkenal sebagai syurga membeli-belah merupakan destinasi terbaik bagi mendapatkan barangan keperluan lebaran anda seperti hiasan rumah dan baju raya.

Terdapat pelbagai jualan, diskaun dan promosi yang ditawarkan kepada orang ramai untuk membawa lebih banyak kegembiraan dan kebahagiaan pada musim perayaan tahun ini.

Tourism Selangor berkongsi tujuh lokasi tumpuan untuk berbelanja bagi memeriahkan raya anda.

1. Kompleks PKNS Shah Alam

 

Setiap hujung minggu, ribuan pengunjung dari kawasan berhampiran dan luar Shah Alam datang ke sini untuk membeli-belah dan menjamu selera. Pusat beli-belah pertama di Shah Alam ini kekal sebagai destinasi pelancongan yang popular. Kompleks ini juga menyediakan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan dan menjimatkan kos. Terdapat pelbagai kedai tersedia termasuk butik fesyen, restoran, kedai elektronik dan mudah alih.

Alamat: Persiaran Tasik, Selangor Darul Ehsan 40000 Shah Alam, Selangor

2. SACC Mall, Shah Alam

SACC Mall terletak di pusat bandar Shah Alam adalah sebuah “neighbourhood mall” yang membawa kelainan tersendiri. Melangkah ke dalam pusat beli-belah ini pasti memberikan keseronokan untuk seisi keluarga. Ia adalah syurga membeli-belah yang menawarkan jenama tempatan dan antarabangsa.
Sepanjang tahun, acara dan promosi menarik dirancang untuk meraikan setiap perayaan utama. Terdapat juga pelbagai pilihan restoran yang menyajikan masakan domestik dan antarabangsa untuk
anda menikmati hidangan selepas seharian membeli-belah!

Alamat: Jalan Perbadanan 14/9, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor.

3. Bangi Sentral

Bangi Sentral terkenal sebagai pusat perniagaan yang menempatkan lebih 80 unit kedai, kebanyakan restoran butik fesyen. Majoriti perkhidmatan yang diperlukan oleh penduduk tempatan juga
boleh didapati di kawasan ini.

Alamat: Jalan Medan Pusat Bandar 6A 43650 Bangi, Selangor.

4. GM Klang Wholesale City

GM Klang Wholesale City mempunyai lebih 2,500 kedai, menyediakan jualan borong dan runcit yang tiada tandingan. Ia juga sebuah pusat perdagangan serantau dengan deretan restoran dan kedai makan serta dilengkapi kemudahan selesa untuk anda membeli-belah di musim perayaan ini. GM Klang Wholesale City menyediakan pelbagai rangkaian produk seperti hiasan rumah dan perkahwinan,
pakaian, tekstil, aksesori IT, mainan, dan banyak lagi. Satu lagi komponen khusus di sini ialah Zon Jenama Malaysia; sebuah presint yang direka dengan cantik yang mempamerkan fesyen, aksesori, makanan dan kraftangan keluaran tempatan.

Alamat: GM Klang Wholesale City, Jalan Kasuarina 1, Bandar Botanic Capital 41200 Klang, Selangor

5. Melawati Mall

Pusat beli-belah gaya hidup seluas 620,000 kaki persegi, dengan lebih 200 kedai dan 1,900 tempat letak kereta ini menjadi destinasi yang popular saban tahun. Ia menyediakan gabungan ideal
fesyen antarabangsa dan tempatan, hiburan, konsep rumah dan gaya hidup serta pilihan tempat makan.
Pelbagai jenama utama di pusat beli-belah ini telah disusun rapi untuk memberikan pengunjung sebuah pengalaman beli-belah, hiburan serta seleksi makanan yang terbaik.

Alamat: Melawati Mall, Jalan Bandar Melawati, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur, Selangor

6. Seksyen 7, Shah Alam

Fesyen muslimah semakin popular dan sering mendapat sambutan penggemar fesyen. Seksyen 7, Shah Alam menjadi lokasi yang menempatkan pelbagai jenama dan butik fesyen yang menawan dan berkualiti tinggi seperti Bella Ammara, Hatta Dolmat, LosraVelda dan banyak lagi. Penggemar fesyen muslimah pasti rambang mata apabila berkunjung ke sini!

Alamat: Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor.

7. The Curve. Mutiara Damansara

Lebih 200 perniagaan runcit dan 60 perniagaan makanan tersedia di The Curve, Mutiara Damansara. Terdapat banyak pilihan dari segi fesyen, kecantikan, kesihatan, barangan kanak-kanak, buku, kelengkapan rumah, barang kemas, aksesori, serta outlet makanan dan minuman. The Curve ialah tempat permulaan membeli-belah sehenti anda, dengan pilihan butik fesyen moden, deretan gerai jualan yang menjual pelbagai jenis barangan, serta pembekal kelengkapan rumah bagi mempersiapkan anda untuk musim lebaran ini!

Alamat: 6 Jalan PJU 7/3, Mutiara Damansara 47810 Petaling Jaya, Selangor

Layari laman web rasmi Tourism Selangor www.selangor.travel atau ikuti media sosial di Instagram, Facebook, Twitter, TikTok, dan YouTube untuk maklumat lanjut.


Pengarang :