Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyerahkan bantuan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf bersempena Program Agihan Perdana Bantuan Ramadan dan Syawal Bagi Tahun 2022 bertempat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada 29 Mac lalu. Foto Facebook Mais
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Umat Islam disaran bayar zakat, sedekah secara digital ketika Ramadan

SHAH ALAM, 1 APR: Umat Islam yang mahu menunaikan zakat atau bersedekah sepanjang Ramadan ini digalakkan membuat bayaran secara dalam talian.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata kaedah digital itu boleh dilaksanakan menerusi laman web www.mais.gov.my atau agensi berkaitan.

“Bulan Ramadan merupakan peluang bagi umat Islam menggandakan pahala dengan menunaikan kewajipan berzakat sama ada harta atau fitrah menerusi Lembaga Zakat Selangor, sedekah (Mais), wakaf (Perbadanan Wakaf Selangor) dan sedekah anak yatim (Yayasan Islam Darul Ehsan).

“Rebutlah peluang ini dan elak melaksanakannya di saat akhir terutama dalam menunaikan kewajipan berzakat,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerusi kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 dan mendapatkan vaksinasi lengkap demi memelihara kesihatan diri.

“Diharapkan umat Islam dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti beribadah serta memperbaiki diri supaya Ramadan fasa endemik ini lebih baik daripada yang sebelumnya,” katanya.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara memasuki fasa peralihan endemik bermula hari ini.

Keputusan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko dan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Pengarang :