Kelihatan dua anggota polis sedang membuat rondaan di Bandar Klang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang ketika tinjauan pada 11 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Unit kereta peronda, motosikal polis tingkat rondaan cegah jenayah ketika perayaan

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mencegah jenayah semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri awal Mei ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya menjangkakan orang ramai akan menggunakan peluang cuti Hari Raya Aidifitri dan cuti umum Hari Pekerja pada ketika itu untuk pulang ke kampung.

“JPJKK di setiap kontinjen akan melakukan rondaan menerusi unit MPV dan URB secara lebih menyeluruh semasa ketiadaan penduduk di kawasan kediaman serta di kawasan premis peniagaan yang tidak beroperasi, bagi memastikan aspek keselamatan dan harta benda komuniti sentiasa terpelihara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Justeru, Aidi menyeru orang ramai yang bercadang untuk pulang ke kampung supaya memaklumkan butir-butir peribadi seperti alamat, tempoh bercuti dan nombor yang boleh dihubungi kepada balai polis berhampiran, untuk membantu pihak polis membuat perancangan rondaan pencegahan jenayah.

Katanya, pihaknya juga akan menempatkan lebih banyak anggota di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang musim perayaan ini.

“Apa yang lebih penting dalam kita sedang menghadapi musuh Covid-19 ini, masyarakat perlulah sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengamalkan jarak fizikal yang selamat selain memakai pelitup muka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :