Dua orang etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap berjaya ditahan sepasukan anggota Polis D7 di Sungai Rembai Relau pada 20 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Unit Udara Polis bantu jejak 111 lagi tahanan Rohingya hilang dari depot

GEORGE TOWN, 21 APRIL: Polis Pulau Pinang meminta bantuan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan saki baki tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya dimaklumkan seramai 111 lagi tahanan belum dijumpai dan mereka dipercayai bersembunyi di sekitar kawasan hutan dan ladang sawit di Nibong Tebal, dekat sini.

“Saya minta bantuan Unit Udara PDRM bagi mengesan mereka bermula hari ini, pasukan polis Pulau Pinang juga sedang memperluas kawasan pencarian dengan penglibatan 120 pegawai dan anggota menerusi Ops Tutup.

“Saya percaya mereka tidak lari jauh kerana keadaan yang hanya berkaki ayam dan kemungkinan besar sudah keletihan berikutan tidak makan atau minum sejak melarikan diri awal pagi semalam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata setakat 2 petang tadi, hasil risikan dan maklumat orang awam, polis berjaya menahan 30 lelaki etnik Rohingya dengan kebanyakan ditahan ketika bersembunyi di sekitar kawasan hutan dan ladang sawit berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Beliau berkata walaupun tahanan yang masih bebas kemungkinan dalam keletihan, polis bimbang mereka bertindak di luar jangkaan sehingga membahayakan orang awam jika mengambil tindakan sendiri tanpa pengetahuan polis.

Sementara itu, beliau berkata polis telah merekodkan keterangan pemandu kereta Toyota Altis yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan enam tahanan yang sedang melintas jalan di lebuh raya PLUS maut.

Beliau berkata lelaki berusia 53 tahun itu didapati tidak mengalami kecederan, tidak memandu secara berbahaya atau laju serta bebas pengaruh dadah dan alkohol.

Mohd Shuhaily berkata identiti enam yang maut telah dikenal pasti namun tidak dapat dipastikan hubungan antara mereka kerana polis masih menunggu maklumat daripada Jabatan Imigresen.

“Pihak kedutaan (Myanmar) juga dimaklumkan berhubung keberadaan mayat-mayat itu di Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk tindakan seterusnya (pengebumian). Sama ada dibawa balik ke sana (Myanmar) ia bergantung kepada mereka (kedutaan),” katanya.

Beliau berkata seorang lelaki dan seorang wanita etnik Rohingya turut terlibat dalam kemalangan ketika melintas lebuh raya dan kini dirawat di HSB serta berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi semalam, 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang merupakan tahanan di Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, melarikan diri.

-BERNAMA


Pengarang :