Orang ramai membeli barang keperluan asas ketika Jualan Prihatin Rakyat Mega di Dataran Batu Laut, Kuala Langat pada 28 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Tanjung Sepat tambah subsidi RM6,000 untuk program jualan murah

KUALA LANGAT, 28 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat memperuntukkan RM6,000 bagi memberi subsidi tambahan menerusi Jualan Prihatin Rakyat Mega hari ini sempena Aidilfitri.

Borhan Aman Shah berkata dua produk diberikan subsidi RM2 di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut ialah ayam dengan harga RM10 seekor manakala telur RM8 sepapan.

“Ayam ada 2,000 ekor jadi saya dah subsidi RM4,000, manakala telur ada 1,000 papan kita beri RM2,000 jadi di situ sahaja RM6,000.

“Jumlah itu tidak termasuk logistik, khemah dan sebagainya jadi secara keseluruhan RM10,000 diperuntuk untuk program ini,” katanya hari ini.

Borhan Aman Shah bercakap kepada media ketika Jualan Prihatin Rakyat Mega di Dataran Batu Laut, Kuala Langat pada 28 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui mengadakan tinjauan di Jualan Prihatin Rakyat Mega sempena Aidilfitri di Batu Laut di sini.

Sebelum ini, EXCO permodenan dan asas tani Ir Izham Hashim berkata sebanyak 23,200 ayam segar, 23,200 kilogram(kg) daging pejal, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200 kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung (QFish) ditawarkan sepanjang program.

Inisiatif dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari membabitkan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad.


Pengarang :