BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Wakil rakyat tekad jadikan DUN Sentosa bersih, azam atasi banjir kilat

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dr G Gunaraj giat menyelesaikan satu per satu masalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa. Sejak menerima mandat rakyat pada 2018, beliau mengerah seluruh tenaga demi rakyat tanpa mengira agama, kaum dan pegangan politik.

Wartawan NORRASYIDAH ARSHAD menyelami pendekatan dan inisiatif Gunaraj dalam menangani masalah dan usaha menaikkan taraf hidup rakyat.

Bagaimana YB boleh beralih dari bidang insurans ke politik?

Saya memulakan kerjaya dalam bidang insurans iaitu MCIS Insurance Bhd sebagai pengurus agensi. Selepas berkhidmat selama 35 tahun, lima tahun lalu saya dilantik sebagai pengarah koperasi MCIS. Kemudian pada 18 Disember 2021 saya dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah Koperasi MCIS.

Sebenarnya, saya berkecimpung (dalam politik) selama 18 tahun, sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan. Saya ikut gerakan reformasi sejak beliau ditangkap pada 1998 sampai hari ini. Saya selalu ikut beliau dan menjadi anggota Parti Keadilan Rakyat(KEADILAN) dan dilantik naib ketua cabang Selayang. Pada 2018 saya diberi peluang menjadi ADN Sentosa. Jadi dari Selayang saya tukar keahlian ke Kota Raja. Saya menang (pilihan raya) dan kini jadi ketua cabang.

YB antara wakil rakyat yang giat membanteras sampah haram. Mengapa aspek itu jadi tumpuan utama?

Aspek yang saya sering lihat adalah kebersihan. Antara isu yang sering dilapor adalah kawasan Sentosa kotor, banyak sampah sarap dan banjir. Salah satu faktor yang dikenal pasti adalah longkang tersumbat. Ia berpunca dari masalah sampah, selain saliran tidak diselenggara dengan baik. Tabiat buang sampah merata-rata juga salah satu faktornya. Tiada sistem penyelenggaraan dan penguatkuasaan. Ini bukan salah kontraktor atau pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja tetapi juga berpunca daripada kita diri sendiri (penduduk).

Masyarakat perlu memberi komitmen dan bertanggungjawab untuk memastikan kawasan perumahan sentiasa bersih. Jadi, kami mulakan perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NGO), masjid, surau, rumah ibadat dan persatuan penduduk. Kami turut adakan rundingan meja bulat dan merancang program yang sesuai. Antaranya, kita wujudkan program Clean and Green (bersih dan hijau).

Kita mahu penglibatan penduduk dalam program ini kerana ia sangat mustahak. Program Kebun Komuniti Jalan Kebun Nenas antara aktiviti yang saya kagumi. Sebelum ini, di sepanjang jalan tersebut, kita ada masalah sampah selama bertahun-tahun. Saya bukan berniat hendak ‘angkat bakul sendiri’ kerana sebelum ini PBT cuba menanam pokok di kawasan sama tetapi gagal atasi masalah (sampah). Tetapi melalui progam kebun komuniti, kita berjaya membabitkan penduduk setempat.

Dr G Gunaraj berbual dengan salah seorang pelajar yang menyertai program gunting rambut 19 Mac lalu. Foto Dr G Gunaraj

Jadi ini inisiatif YB sendiri panggil penduduk?

Ya. Dengan kerjasama MPK (Majlis Perbandaran Klang) dan JKR (Jabatan Kerja Raya). Saya wujudkan Kebun Komuniti kerana ingin menarik pembabitan masyarakat. Jadi sepanjang jalan itu, kita sediakan 60 lot (kebun) dan permohonan dibuka sejak 2019 untuk mereka yang berminat. Kita terima 160 (permohonan). Selepas teliti setiap permohonan, kita bermula dengan 60 peserta. Kita sediakan latihan dan mereka berjaya bertani. Secara tidak langsung, peserta dapat bersihkan tempat itu dan kini ia bebas daripada sampah.

Selain bebas sampah adakah mereka boleh jana pendapatan?

Ya betul sebab kebanyakan mereka turut menerima bantuan pihak berkaitan. Hasil sayur-sayuran juga diagih ke beberapa buah masjid dan ia sudah masuk tahun kedua. Sepanjang tempoh meluangkan masa mengusahakan kebun masing-masing, adakalanya ia turut melibatkan ahli keluarga.

Adakah YB keluarkan dana sendiri bagi mencapai matlamat ini?

Ya betul. Selain peralatan berkebun, saya turut menyediakan latihan dan memohon bantuan baja daripada EXCO pertanian. Jabatan pertanian turut mengajar penduduk membuat baja kompos. Jadi setiap kali turun ke lokasi, kita akan nampak perubahan di kawasan itu, hasil kreativiti dan usaha mereka sendiri. Akhir bulan ini, kita mengadakan pertandingan kebun kreatif, hasil terbaik, kebun bersih dan papan tanda, bagi memberi galakan kepada penduduk.

Kita beri hadiah wang tunai sebagai galakan tetapi lebih penting mereka akan menjadi ‘mata telinga’ untuk pastikan kawasan itu bebas sampah. Jadi, kita tidak perlu lagi meminta penguat kuasa membuat rondaan. Pada masa sama, bila ada orang berkebun, masyarakat tidak berani lagi buang sampah.

Kita juga ada kumpulan WhatsApp. Kalau nampak (orang buang sampah) ia akan dimaklumkan dalam kumpulan WhatsApp, jadi sukarelawan kita terus datang (buat pemeriksaan). Kita ‘tangkap’ beberapa individu selain lori dan kereta. Menerusi program Clean and Green juga kita menanam 500 pokok di sepanjang Jalan Jati dan Jalan Raja Nong. Ia bukan hanya membabitkan PBT dan Kerajaan Negeri tetapi juga penduduk setempat serta NGO.

Mereka menyumbangkan pokok sebab ingin hijaukan Sentosa untuk pastikan kawasan ini bersih. Kita juga sering mengadakan program gotong-royong beserta hidangan pagi dengan harapan dapat menarik minat mereka untuk menyertainya.

Adakah matlamat memastikan Sentosa bersih tercapai sepanjang hampir sepenggal ini?

Belum lagi. Kita hendak cuba selesaikan segala isu kebersihan secara menyeluruh selain banjir. Hasrat jangka pendek jika gagal dicapai, kita akan teruskan kepada progam jangka panjang. Memang ada perkhidmatan disediakan oleh KDEBWM, tetapi PBT pun sering berdepan masalah sampah domestik. Selain ketiadaan tong sampah, ada juga yang suka letak sampah yang diikat di tepi jalan. Ia akan jadi ikutan tetapi inilah sebenarnya yang berlaku.

Sepatutnya semua rumah ada tong sampah, jadi memudahkan tugas kontraktor. Lori sampah pukal pula datang dua kali sebulan untuk kutip barang seperti tilam dan perabot. Jadi masalah ini kita belum berjaya atasi lagi dan ia tidak sampai 50 peratus pun. Kalau kita ke Damansara dan Petaling Jaya, kedua-dua kawasan itu sentiasa bersih. Bukan kerana kontraktor bagus tetapi pemikiran masyarakat (di kawasan itu).

Jadi fokus sekarang kepada pendidikan dan kesedaran masyarakat?

Ya. Perbezaan status majlis perbandaran dengan bandar raya turut menjadi masalah. Penduduk kawasan bandar raya ada menerima tong sampah percuma. Jadi saya harap tong sampah dapat diberi kepada semua penduduk. Kerajaan Negeri perlu beri kepada semua, tanpa mengira status pentadbiran.

Berkenaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), berapa ramaikah sudah terima bantuan tersebut?

Ia satu inisiatif yang amat baik. Kita menerima banyak permohonan dan cuba bantu seramai mungkin. Bagi skim kesihatan ramai pesakit kronik yang perlu jalani dialisis. Kita terima banyak permohonan dan akan sampaikan kepada EXCO untuk luluskan. Bagi Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE), ia berjalan lancar. SMUE untuk program hari jadi diadakan setiap bulan.

Dahulu sebelum Covid-19 sumbangan senang hendak agih tetapi sekarang agak sukar. Berdasarkan rekod, kita ada lebih 20,000 penerima bagi SMUE, KISS, Peduli Sihat dan perayaan (baucar). Penerima bantuan IPR pula 25,000 orang.

Adakah penerima skim orang yang sama?

Berbeza-beza. Semua skim ini hanya untuk pemohon yang layak. Semasa perayaan Deepavali kita menerima 700 baucar sebab peratusan kaum India ramai. Bagi Tahun Baharu Cina hanya 300 baucar. Program KISS dan hari jadi sudah penuh sebab ramai memohon.

Di kawasan YB, golongan berpendapatan rendah (B40) ramai. Adakah peruntukan Kerajaan Negeri mencukupi atau ada inisiatif YB sendiri?

Bantuan yang diterima ketika Covid-19 sememangnya tidak mencukupi kerana ia perlu diagih ke seluruh Selangor. Covid-19 bukan hanya menjejaskan B40 tetapi juga golongan T20 yang berubah menjadi B40. Mereka pun memerlukan bantuan makanan. Saya dapat kerjasama sebuah syarikat untuk salur bantuan barangan makanan dan sabun kepada penduduk dan ia masih berterusan hingga hari ini.

Berapa banyakkah bantuan selesai diagih?

Kalau tidak silap, lebih 30,000 sudah diagih. Pada awalnya, kita agih kepada 100 keluarga setiap hari. Skuad kita pergi dari rumah ke rumah. Ada empat zon di Sentosa dan sasaran kita semua kawasan. Barangan sumbangan Kerajaan Negeri selain NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan dermawan. Sewaktu banjir, kita ada terima barangan untuk mangsa. Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk ucap terima kasih kepada semua penyumbang. Tanggungjawab ini (beri bantuan) membabitkan semua dan bukan Kerajaan Negeri sahaja. Inilah maksudnya ‘Kita Jaga Kita’.

Dr G Gunaraj menyerahkan sumbangan barang keperluan harian menerusi program Bank Makanan DUN Sentosa kepada penduduk pada 9 Mac lalu. Foto Dr G Gunaraj

Bagaimana permohonan bantuan dibuat, adakah di sosial media atau datang ke pejabat?

Ini soalan yang cukup baik. Kita akan uar-uarkan menerusi WhatsApp, google link dan ada datang terus ke pejabat. Dalam setiap borang bantuan yang diterima kita akan minta pemohon maklumkan barangan yang diperlukan. Ramai yang hilang sumber pendapatan dan apa yang mereka perlukan adalah makanan. Dengan bantuan NGO dan dermawan kita adakan program bantuan makanan harian iaitu Food at 4 (pm).

Kita agih makanan tengah hari dan makan malam. Sekurang-kurangnya mereka dapat makan sekali sehari. Ketika Covid-19, seramai 400 orang beratur. Kita akan agih satu atau dua bungkus setiap orang.

Walaupun, kita hanya beri makanan biasa tapi besar (maknanya) kepada mereka. Ini menunjukkan masyarakat sedang susah, terutama ketika mula-mula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Kita adakan program ini selama 62 hari tanpa henti dan ramai orang turut menyertainya. Ada beri nasi ayam dan bihun goreng. Mereka tengok kebaikan program ini dan (timbul) rasa untuk turut menyumbang.

YB banyak memulakan kaedah baharu kemudian ikuti ramai

Ya betul. Ini yang guru saya ajar. Orang bukan hendak apa asalkan perut kenyang. Jangan (hanya) beri duit dan barangan tetapi makanan juga perlu diagih. Jika perut kenyang, mereka gembira. Sebab itulah kita mula memberi makanan pada 2018. Kita minta kerjasama rumah ibadah kumpul sumbangan orang ramai dan agih makanan percuma setiap Jumaat dan ia masih diteruskan.

Kita mahu pastikan semua (orang) ada makanan. Jadi, kalau orang minta makanan saya akan suruh pergi sana (pusat agihan). Sewaktu Covid-19, sukarelawan masak terus di lokasi. Setiap Jumaat, kita agih 300 paket makanan di kuil dan di Kampung Jawa. Makanan itu hanya ada nasi dan sayuran.

Tahun lepas, Selangor berdepan banjir luar biasa. Berapa ramaikah penduduk terjejas?

Di Pejabat Tanah dan Daerah Klang kita rekod lebih 80,000 permohonan. Di Sentosa, kawasan yang teruk dilanda banjir adalah Kampung Jawa, Taman Seri Wangi dan Taman Maznah. Memang tidak seteruk Seri Muda.

Apakah perancangan jangka panjang jika diberi mandat lagi selepas ini?

Kawasan Sentosa ini besar kerana merangkumi Bukit Tinggi, Botanik, Pendamar sikit, Kampung Jawa, Taman Maznah dan sekelilingnya. Saya banyak kali mohon pembinaan pasar awam tapi belum berjaya. MPK (Majlis Perbandaran Klang) hanya buat pasar pagi tepi jalan. Mereka promosikan pasar pagi tetapi tiada perancangan pasar (awam) di DUN ini.

Saya mohon sebanyak dua atau tiga kali. Ini sasaran kita selepas ini untuk pastikan ada pasar awam dan balai polis. Sekarang ada dua pondok polis tetapi tiada balai lengkap. Saya mahukan balai lengkap. Ketiganya, saliran dan longkang dinaik taraf sebab banjir kilat kerap berlaku. Sebelum banjir Disember lalu, banjir kilat sangat kerap (berlaku). Pembangunan menyebabkan saliran tersumbat. Longkang perlu dinaik taraf. Ini perancangan dan masih mengikuti perkembangan isu ini memandangkan peruntukan Marris (Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia) dan PBT tidak mencukupi.

Berapakah jumlah pengundi berdaftar terkini di kawasan YB?

Di Sentosa keseluruhan membabitkan 51,444 pengundi. Ini berdasarkan rekod 2018 dan saya menang dengan 38,106 undi atau 85 peratus, manakala calon lain hilang deposit. Saya percaya kalau diberi peluang, saya pasti akan menang kerana motto kita adalah pastikan komuniti dijaga. Apa mereka perlukan ketika Covid-19, banjir atau ketika susah, kita mesti kena bantu mereka.

Mereka pun faham tetapi kita tidak boleh ambil mudah. Kita cuba bantu untuk selesaikan, daripada aspek pembersihan, pembinaan longkang, isu pasar awam dan balai polis. Masyarakat hendak tengok infrastrukur dan kemudahan yang baik. Jadi kita akan fokus perkara ini.

Dr G Gunaraj ketika meninjau masalah perparitan di Kampung Jawa pada 9 Mac lalu. Foto Dr G Gunaraj

Bagaimana pandangan tentang Undi 18?

Memang Undi 18 bagi peluang remaja mengundi. Antara usia 18 hingga 21 tahun ada perbezaan tiga tahun. Sejak sekolah mereka sudah pandai politik sebab ada pelbagai persatuan. Jadi mereka tahu erti politik cuma perlu pastikan pemimpin dipilih untuk bawa perubahan.

Undi 18 beri peluang golongan muda untuk memilih pemimpin mereka. Walaupun ada cabaran bagi pembangkang atau pihak yang berkuasa sekarang tetapi (saya) percaya boleh menang lagi dan sambung bawa perubahan lebih baik dan bermanfaat.

Mungkin YB sudah gerakkan aktiviti untuk menarik sokongan anak muda?

Memang. Dalam dua tahun ini saya jalankan program untuk anak muda, pelajar tingkatan empat dan lima untuk persiapan SPM. Saya turut lancar Khidmat 100 seiring dengan pelancaran Skuad Khidmat (dilancarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim). Jadi, kita sudahkan dengan Khidmat 100 untuk mereka menyertai Skuad Khidmat. Saya harap pengundi muda bijak membuat keputusan demi negara.


Pengarang :