Awa Minhat menggalas tanggungjawab memelihara lima cicit sejak 18 tahun lalu. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wanita 79 tahun bela lima cicit guna pencen bulanan RM1,000

MELAKA, 10 APRIL: “Hendak buat macam mana. Sudah darah daging sendiri, dah sayang sangat. Jadi selagi nyawa ada, onyang akan jaga mereka,” demikian kata-kata yang ditutur sayu Awa Minhat yang menggalas tanggungjawab memelihara lima cicit sejak 18 tahun lalu.

Menetap di Bukit Piatu, moyang berusia 79 tahun yang ditemui pemberita itu berkata kelima-lima cicitnya itu, dibiarkan tinggal bersamanya yang dipanggil emak selepas ibu bapa mereka bercerai.

“Dari sulung yang masa itu masih bayi hinggalah kini berusia 18 tahun dan yang bongsu kini tujuh tahun. Mereka langsung tak mahu pulang tinggal bersama ibu mereka yang sudah berkahwin lain. Ayah pula dalam penjara,” katanya.

Gigih membesarkan cicit-cicitnya dengan menggunakan wang pencen sebanyak RM1,000 dan RM200 yang diberikan oleh ibu mereka setiap bulan, beliau bersyukur anak-anak tersebut tidak suka meminta-minta.

“Makan apa yang ada dan semua mereka ini suka makan telur. Macam telefon pula, mereka kumpul duit sendiri untuk beli, sebab hendak digunakan untuk belajar,” katanya.

Bagi keperluan sekolah pula, beliau bersyukur kerana baju sekolah memang diberikan oleh Majlis Agama Islam Melaka (Maim), seorang sehelai dan itulah yang akan dipakai cicit-cicitnya sepanjang tahun.

Ceritanya lagi, kesemua mereka ada enam beradik dengan seorang daripadanya dipelihara sendiri oleh ibu kandung mereka, yang mana turut membantu mengenai urusan berkaitan persekolahan seperti pendaftaran dan penyediaan alatan belajar.

“Ini termasuklah hal kesihatan. Macam yang bongsu ini, ada masalah berkaitan usus dan perlu mendapatkan rawatan di hospital. Jadi ibu mereka akan uruskan hantar ke hospital kerana saya tak ada pengangkutan,” katanya.

Mengakui ada pihak yang tampil dan sudi untuk memelihara anak-anak tersebut sebagai anak angkat, Awa bagaimanapun tidak sanggup memisahkan mereka dan nekad menjaga hingga akhir hayatnya.

Katanya, beliau risau mengenangkan sekiranya anak-anak itu tidak dijaga sebaiknya termasuklah dipukul atau didera.

“Tapi ada pesan kalau umur onyang tak panjang, pulanglah pada ibu mereka. Macam sekarang, kesihatan Alhamdulilah dan selalu berdoa agar Allah kuatkan lutut ini. Kalau sakit lutut, susah nak gerak mana-mana. Macam mana nak jaga mereka nanti,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi, Awa menjelaskan beliau kebiasaanya akan tetap membeli sehelai baju baharu buat cicit-cicitnya itu.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Burhanuddin Bachik berkata Bantuan Kanak-Kanak berjumlah RM600 sebulan, akan diberikan.

“Kita telah jumpa keluarga ini dan bantuan akan mula diberikan pada Mei depan melalui moyang mereka, yang akan bertindak sebagai wakil penjaga sah anak-anak itu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :