Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Datin Paduka Norazlina Zakaria (tengah) bergambar bersama penerima wakalah zakat ketika majlis berbuka puasa di Mercu Worldwide, Shah Alam pada 22 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Worldwide Holdings agih zakat lebih RM300,000 untuk asnaf, anak yatim

SHAH ALAM, 22 APRIL: Worldwide Holdings Berhad memperuntuk sejumlah RM250,000 untuk diagih kepada golongan asnaf menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) sempena Ramadan tahun ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata syarikat itu turut menyalur sumbangan RM100,000 kepada badan kebajikan terpilih seperti Islamic Relief Malaysia dan beberapa rumah anak yatim seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

“Agihan wakalah zakat dan sumbangan wang  tunai adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyantuni golongan kurang bernasib baik seperti golongan asnaf fakir miskin dan anak-anak yatim.

 “Selari dengan teras program CSR Worldwide Prihatin, inisiatif ini memberi peluang kepada syarikat menyumbang kembali dan berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan terutamanya di sekitar Selangor,” kata Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Beliau ditemui pada Majlis Iftar Ramadan bersama kakitangan Worldwide Holdings di Mercu Worldwide di sini, hari ini.

Norazlina berharap usaha murni yang menjadi tradisi syarikat sejak awal penubuhan syarikat dapat diteruskan pada tahun mendatang dengan penglibatan lebih ramai rakan strategik.

“InsyaAllah dalam tempoh terdekat kita akan membayar zakat sebanyak RM2.8 juta kepada LZS,” katanya.

Pada majlis itu lebih 200 kakitangan dirai selain sesi tazkirah yang disampaikan Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Datin Paduka Norazlina Zakaria berucap ketika majlis berbuka puasa dan serahan wakalah zakat di Mercu Worldwide, Shah Alam pada 22 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :