Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide), Dato’ Bakhtiar Hussin (tengah) dan Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah (kanan) menyerahkan sumbangan kepada pesakit buah pinggang di Pusat Dialisis Mais cawangan Kapar pada 11 April 2022. Foto Facebook Yide
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide: 250 pesakit dialisis terima bantuan Aidilfitri

SHAH ALAM, 12 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) memperuntuk sejumlah RM12,500 kepada pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis di bawah seliaannya sempena sambutan Aidilfitri.

Pengurus Besar Nur Mohd Razali Abdullah berkata agihan itu disalurkan kepada 250 pesakit di enam cawangan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Inisiatif Yide ini dilaksanakan setiap tahun bagi meringankan beban pesakit dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

“Insya-Allah semua sumbangan ini akan disalurkan secara berperingkat dan selesai sebelum tibanya hari raya,” katanya kepada Selangorkini.

Dalam pada itu, Nur Mohd Razali meminta individu yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang supaya mendapatkan rawatan di semua cawangan pusat dialisis disediakan.

Cawangan berkenaan meliputi Shah Alam, Bukit Jelutong, Kapar, Sungai Besar, Kuala Selangor dan Taman Melawati.

“Yide turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam dan syarikat korporat yang menyalurkan sumbangan melalui tabung infaq dana dialisis yang dilancarkan melalui platform digital atau sumbangan boleh dibuat melalui laman sesawang Yide iaitu www.yide.com.my,” katanya.


Pengarang :