Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Nur Mohd Razali Abdullah bercakap kepada media berhubung prestasi kutipan Kupon Infaq sepanjang Ramadan 2021 di ibu pejabat Yide, Seksyen 7, Shah Alam pada 28 Januari 2022. Foto Yide
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide agih RM1.21 juta sumbangan Aidilfitri kepada 8,100 anak yatim

SHAH ALAM, 2 APR: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) akan mengagihkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM1.21 juta kepada anak-anak yatim secara berperingkat mulai esok.

Pengurus Besar Nur Mohd Razali Abdullah berkata seramai 8,100 anak yatim berdaftar dengan Yide akan menerima RM150 setiap seorang.

“Alhamdulillah, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yide yang sangat prihatin dengan kebajikan golongan itu bersetuju untuk menaikkan RM50 bagi tahun ini berbanding tahun sebelumnya hanya RM100 sahaja untuk seorang.

“Sumbangan ini akan dikreditkan secara berperingkat melibatkan bilangan anak yatim yang berdaftar seperti di Hulu Langat seramai 1,410, Sepang (402), Petaling (1,322), Kuala Selangor (787), Gombak (1,187), Kuala Langat (564), Sabak Bernam (409), Klang (1,533) dan Hulu Selangor (486),” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata kesan Covid 19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu telah menyebabkan ramai anak-anak menjadi yatim piatu.

“Pada 2021 Yide memperuntukkan sumbangan kepada 7,420 orang dan tahun ini meningkat 680 menjadikan penerima keseluruhan 8,100,” katanya.


Pengarang :