Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yide Dato’ Sri Khanafi Hussin (tiga, kanan) bersama penerima bantuan kelengkapan sekolah dan duit raya di Rumah Bakti Al Khutsar, Bandar Baru Bangi pada 21 April 2022. Foto ihsan Yide
AGENSISELANGOR

Yide kerjasama syarikat korporat agih kelengkapan sekolah, duit raya anak yatim

SHAH ALAM, 21 APRIL: Agihan set peralatan sekolah dan duit raya kepada penghuni di 19 rumah anak yatim seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) selesai hari ini sejak dimulakan 13 April lalu.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yide Dato’ Sri Khanafi Hussin berkata edaran bantuan itu dibuat hasil sumbangan syarikat Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) membabitkan peruntukan berjumlah RM150,000.

“Kita menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan strategik korporat CSR atas sumbangan bagi tujuan program Jom Ke Sekolah yang diagihkan secara berperingkat.

“Baju sekolah digunakan anak-anak yatim melalui sumbangan CSR ini dijahit sendiri oleh asnaf yang mendapat latihan daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau bersama Pengarah Hal Ehwal Korporat CSR Rozita Ahmad menyerahkan sumbangan tersebut kepada 50 anak yatim di Rumah Bakti Al Khutsar, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Sementara itu, Khanafi berkata pihaknya berhasrat menjalin kerjasama strategik bersama syarikat sama untuk membina pusat dialisis di beberapa lokasi.

“Setakat ini perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan awal,” katanya sambil menambau CSR turut menyalur sumbangan RM1.3 juta bagi pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim di Pulau Indah.


Pengarang :