Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini (tengah) bersama wakil syarikat korporat selepas majlis iftar dan serahan zakat perniagaan di Dewan Orked, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Shah Alam pada 26 April 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Zakat Selangor agih RM28.7 juta bantu 63,000 keluarga miskin, mualaf

SHAH ALAM, 27 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan bantuan Ramadan dan Syawal kepada lebih 63,000 keluarga asnaf fakir, miskin serta mualaf di negeri ini sejak 29 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata bantuan bagi meringankan beban golongan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM28.7 juta.

“Walaupun pelbagai rintangan dilalui sejak dua tahun kebelakangan ini, namun kesetiaan pengeluar zakat menunaikan kewajipan mereka setiap tahun memberi sinar harapan kepada semua keluarga asnaf di Selangor.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka seterusnya dapat merayakan 1 Syawal dengan penuh makna dan gembira bersama keluarga tersayang,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan 2022 di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi LZS Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir dan Ahli Pemegang Amanah LZS Dato’ Dr Abdul Rahman Abdullah.

Sementara itu, Mohd Sabirin berkata LZS menyasarkan kutipan zakat perniagaan berjumlah RM22.8 juta sepanjang Ramadan tahun ini berikutan peranan dimainkan sangat besar.

Beliau menjelaskan zakat perniagaan menyumbang RM174.9 juta daripada RM993 juta zakat yang dikutip tahun lalu, kedua tertinggi selepas zakat pendapatan.

“Namun jika ditinjau kepada potensi sebenar zakat perniagaan, hakikatnya ia masih besar untuk diterokai kerana Selangor mempunyai ribuan entiti perniagaan, sama ada bersifat perniagaan persendirian, syarikat perkongsian mahupun koperasi.

“Maka, Zakat Selangor sentiasa menyasarkan peningkatan dalam kutipan zakat perniagaan saban tahun sesuai dengan potensi besar yang wujud di negeri ini,” katanya lagi.


Pengarang :