Penyanyi Zizi Kirana, ketika diwawancara Media Selangor di sebuah kafe di Seksyen 4, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Zizi Kirana tenang berhijab, tiada lagi godaan ‘Datuk gatal’

Cantik, seksi dan popular menyebabkan ada saja lelaki hidung belang cuba menghampiri Zizi Kirana termasuk orang kenamaan bergelar Datuk yang mahu menajanya.

Dikenali ratu rap negara, beliau kini tidak lagi seksi sebaliknya kekal jelita dengan berhijab dan seronok hidup sebagai wanita muslimah. Wartawan Nazli Ibrahim mencatat kisahnya dalam temu bual pada 1 April lalu.

Malam itu penyanyi Zizi Kirana sukar melelapkan mata. Berjela mesej ibu diterima diulang baca. Makin dibaca, makin meruntun perasaan. Sayu campur rasa bersalah menerkam hatinya.

“Mami tak tahu bila-bila masa sahaja Allah akan panggil mami,” bait akhir ibu, menasihatinya supaya tidak lagi seksi, cukup terkesan di hati.

Malam itu, akhirnya dia tertidur dengan pipi berbekas linangan air mata. Sejak ‘ditarbiah’ ibu, dia tidak lagi tampil seksi. Sehinggalah menjelang puasa 2021, akhirnya dia mengambil keputusan berhijab.

Sejak itu, tiada lagi panggilan video lucah atau pelawaan ‘Datuk gatal’ menawarkan kemewahan sebagai perempuan simpanan.

“Ramai juga yang kecewa bila saya berhijab. Siap ada yang mesej di Instagram, dah tak ada ‘belanja’ lagi ke? Sebelum itu selalu kena kacau. Panggilan video tayang kemaluan pun pernah. Rasa macam nak samak mata pun ada. Mesej lucah tak usah cakaplah.

“Begitu juga gangguan Datuk gatal, kaya, ada ladang dan bermacam. Tak sudah-sudah mesej pengurus saya, dia minta sebut sahaja berapa bayaran ‘maintainance’ bulanan dia sanggup bagi, nak beri rumah, macam-macam tetapi lepas berhijab, Alhamdullilah, dia berhenti cuba,” katanya ketika diwawancara Selangorkini pada 1 April.

Dahulu kotak mesej telefon pintarnya sering dihujani mesej peminat lelaki ingin mencuba nasib atau berbaur gangguan seks namun berbeza selepas berhijab, lebih ramai wanita terutama yang memberikan kata-kata semangat untuk kekal istiqamah dengan imej baharu.

Kini kehidupan Zizi Kirana lebih tenteram. Lebih-lebih lagi selepas mendirikan rumah tangga bersama pelakon Yusuf Bahrin pada 19 September 2021.

Penyanyi Zizi Kirana, ketika diwawancara Media Selangor di sebuah kafe di Seksyen 4, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mengaji al-Quran

Mengimbas zaman kanak-kanak, Zizi Kirana atau nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 37, mula terlibat dengan kumpulan nasyid di sekolah rendah hingga menengah.

Anak sulung lima beradik kepada Mad Tahil dan Fatimah Kassim, turut membantu guru agama berhampiran rumahnya mengajar kanak-kanak mengaji.

“Saya mula mengaji umur empat atau lima tahun lagi. Selain itu selalu tengok makcik saya, qariah Negeri Sabah mengaji. Keadaan keliling banyak pengaruhi kehidupan saya masa itu.

“Sebelum Sijil Peperiksaan Malaysia, saya sudah khatam al-Quran. Suatu hari guru mengaji tak ada pembantu mengajar. Sejak itu saya bantu ajar muqaddam untuk budak sekolah rendah,” katanya.

Penyanyi berasal Semporna, Sabah ini mula serius membabitkan diri dalam dunia hiburan ketika berusia 20 tahun dengan menyertai Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 2005.

Beliau berjaya ke peringkat akhir sebelum dinobatkan pemenang kategori Bintang RTM Paling Popular yang ditentukan melalui undian sistem pesanan ringkas (SMS). Namun ketika itu namanya belum berapa dikenali.

Mengikut jejak ibu yang merupakan seorang penyanyi di RTM Sabah, selepas muncul dalam Bintang RTM, Zizi Kirana kerap membuat persembahan bersama Jabatan Penerangan Negeri Sabah.

Sehinggalah usianya menginjak 24 tahun. Suatu hari beliau ‘dikenakan’ keluarganya sendiri, kononnya diminta menemani adiknya menyertai uji bakat Akademi Fantasia (AF) di Borneo South Atrium, Kota Kinabalu.

“Saya tak terfikir pun nak pergi pun uji bakat AF masa itu tetapi adik saya yang aturkan tanpa pengetahuan saya.

“Dia minta saya ikut temankan dia uji bakat. Saya pun pergilah temankan. Sampai sana, dia bagi saya nombor giliran dan senarai lagu untuk saya pilih. Dia cakap pada saya, aku dah daftarkan nama kau, kau pergi masuk dalam dan nyanyi.

“Rupa-rupanya semua ahli keluarga tahu rancangan ‘prank’ ini kecuali saya seorang sahaja tidak tahu apa-apa. Saya cakap dengan mereka, tak mengapa, saya buat demi kamu,” katanya tertawa.

Berbekalkan bakat nyanyian semula jadi dan pengalaman menyertai Bintang RTM, Zizi Kirana melepasi saringan awal AF.

Dalam program realiti televisyen AF 2009 itu, Zizi Kirana mara sehingga konsert minggu keempat.
Dia yang kemudiannya menyertai kumpulan The Fabulous Cats dipelopori Cat Farish, Adeep Nahar dan Wangi Julianda, berpindah ke Kuala Lumpur bagi melancarkan lagi perkembangan kariernya.

Selain mara ke minggu keempat AF, kejayaan menggondol kategori Persembahan Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu 2021 menerusi lagu Eh disifatkan antara pencapaian terbaik dalam kariernya.

Selain itu, penyertaan dalam rancangan realiti televisyen Indonesia, D’Academy Asia musim kedua turut meningkatkan lagi popularitinya di Malaysia dan Indonesia.

Dalam bidang nyanyian, Zizi Kirana menghasilkan sembilan buah ‘single’ solo dan lima buah ‘single’ kolaborasi.

Selain nyanyian, Zizi Kirana juga terlibat dalam lakonan. Antaranya filem Cuti-Cuti Cinta dan Hantu Bonceng, drama Jamu Nesan serta telefilem Bujang Raya Bersama.

Godaan

Sebagai artis, beliau juga tidak terlepas dengan cabaran. Antaranya godaan lelaki digelarnya ‘Datuk gatal’ yang bersedia menabur kemewahan seperti dalam lirik lagu Boleh Jalan.

Keadaan ini menyebabkan beliau dan pengurusnya sentiasa berhati-hati ketika membuat persembahan yang dihadiri orang kenamaan.

“Kami memang berhati-hati bila buat persembahan ada VIP (orang kenamaan). Biasanya lepas persembahan saya tak tunggu lama, pengurus akan cepat-cepat bawa saya lari ke bilik hotel untuk elak jumpa VIP.

“Itu pun kadang-kadang ada juga yang telefon nombor bilik hotel, ajak minum malam tetapi itu dahululah, sekarang dah tak ada,” katanya.

Zizi Kirana sempat merakam pengalaman beliau ini dalam lirik lagu ditulis W.A.R.I.S antaranya, Boleh Jalan yang menggunakan ungkapan keras seperti ‘Datuk gatal’, ‘lelaki miang’, ‘ku tayang lurah tetapi bukan murah’, ‘bini menopaus’ dan sebagainya.

Lagu lain seperti Eh dan single terbaru, Pijak turut berkisar pengalaman sebenar beliau sepanjang bergelar artis termasuk ditipu penganjur.

Namun Zizi Kirana bersyukur sejak berhijab beliau tidak lagi diganggu terutama selepas mendirikan rumah tangga.

Manakala pengalaman ditipu penganjur mengajar beliau dan pasukan pengurusan lebih berhati-hati sebelum terima sebarang tawaran.

“Memang sakit hati bila ditipu tetapi benda dah lepas, biarlah lepas. Saya tak nak panjangkan cerita dan anggap sahaja bukan rezeki saya. Ada hikmahnya. Kami ambil pengajaran supaya lebih berhati-hati supaya tidak dipijak orang sesuka hati,” katanya.

Penyanyi Zizi Kirana, ketika diwawancara Media Selangor di sebuah kafe di Seksyen 4, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Perkahwinan

Mengimbas detik pertemuan dengan suami, Zizi Kirana berkata, kali pertama bertemu Yusuf dalam rancangan All Together Now tetapi tidak pernah berbual atau duduk semeja.

Selepas beberapa siri, Yusuf hanya menegurnya sekali sahaja dengan memuji kasutnya yang cantik.

“Lepas itu dia selalu mesej saya di Instagram tetapi mulanya saya tak jawab hinggalah hari jadi dia saya mesej ucapan selamat hari jadi di Instagram dia. Sejak itulah kami mula berbalas mesej.

“Kami hanya bermesej sahaja, tak pernah keluar bersama. Tak sampai sebulan selepas itu, dia ajak kahwin. Kemudian dia beri hadiah pertama, sehelai telekung, itu pun dia cuma letakkan di bawah rumah untuk saya ambil kemudian,” katanya.

Mengenali Yusuf, Zizi Kirana menyifatkan suaminya sebagai seorang yang fokus terhadap sesuatu yang dihajatinya dan ‘tidak main-main’.

Kedua-dua mempelai itu selamat diijab kabul pada tanggal 19 September 2021 di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Bercerita kehidupan berumah tangga, selain bersyukur sudah memiliki imam yang sedia membimbingnya, beliau menyifatkan kehidupannya jauh berbeza berbanding sebelumnya.

“Alhamdullilah, ini pengalaman pertama sambut Ramadan sebagai isteri. Kalau dulu sahur seorang tetapi sekarang dah ada teman. Ibadah pun lebih fokus.

“Dahulu pulun tawaran persembahan yang ada tetapi puasa kali ini banyak dikurangkan untuk saya bahagikan masa bersama suami, keluarga mentua dan keluarga saya sendiri,” katanya dengan senyuman meleret.

Bagi sambutan hari raya kali ini, Zizi Kirana dan suami belum memutuskan balik kampung mana dahulu sama ada Melaka atau Sabah bergantung kepada jadual penggambaran Yusuf yang agak padat.

Artis berhijab

Apabila ditanya perkembangan beberapa tahun kebelakangan semakin ramai artis berhijab, Zizi Kirana menyeru supaya semua pihak berfikiran positif dengan mendoakan yang baik-baik.

“Sebelum saya berhijab pun macam itu juga, peminat dan tentunya keluarga mendoakan saya. Masa itu bila dengar artis berhijab rasa macam seronok. Saya pun rasa nak macam itu. Kita tak tahu Allah beri hidayah macam mana. Dalam hati kata, insya-Allah, insya-Allah.

“Bila orang tanya, Zizi bila nak berhijab sebab masa itu saya berhijab cuma masa bulan puasa sahaja. Saya cuma jawab, doakan saya sebab dalam hidup kita yang penting adalah doa dan mesti suatu hari Allah akan jentik hati kita. Kita pasang niat yang betul.

“Kalau orang nak berubah, kita beri sokongan tetapi berbalik kepada niat dia. Kita tak tahu niat orang itu. Saya tak berani nak katakan mereka ikut trend atau sebab perniagaan atau apa, cuma doakan yang baik-baik,” katanya.

Sebelum berhijab sepenuhnya pada Ramadan 2021, Zizi Kirana hanya memakai hijab tatkala menjelang bulan puasa pada 2019 dan 2020.

Menyedari karier dalam industri seni ada pasang dan surut, Zizi Kirana dan Yusuf merancang membuka perniagaan dalam dua hingga tiga tahun akan datang.

Walau belum memutuskan bidang perniagaan bakal diceburi. Zizi Kirana cenderung memilih bidang pakaian seperti baju, abaya dan tudung seperti beliau sendiri pakai.

“Saya dan Yusuf sangat berbeza karekter. Dia sejenis merancang tetapi saya selalunya pengurus yang aturkan.

“Dia cakap dia tidak akan berlakon selamanya. Sekarang nak kumpul duit dan buka perniagaan tetapi dia izinkan kalau saya masih nak teruskan menyanyi sampai saya sendiri nak berhenti, pada masa sama perniagaan tetap jalan,” katanya.

 


Pengarang :