Pekerja memotong ayam yang dibeli pelanggan pada Karnival Jualan Mega Prihatin Rakyat di Dataran Puchong Permai, Subang Jaya pada 1 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

1,000 kupon diskaun diedar kepada pengunjung pasar tani

SUBANG JAYA, 1 MEI: Sebanyak 1,000 kupon diskaun barangan basah disediakan kepada pengunjung yang hadir ke Karnival Jualan Mega Prihatin Rakyat di Pasar Tani Dataran Puchong Permai di sini hari ini.

Pengerusi pasar tani, Razali Majid, 64, berkata kupon bernilai RM7 bagi daging pejal, RM5 (tulang lembu) dan RM4 (ayam) diagih sepanjang program berlangsung dari 7 pagi hingga 12 tengah hari.

“Hampir 90 peratus berjaya diagih oleh urusetia hari ini. Agihan dibuat terus kepada pengunjung ketika mereka berurusan dengan peniaga barangan berkaitan bagi mengelak mereka membeli produk lain.

Pengerusi Pasar Tani Dataran Puchong Permai, Razali Majid.

“Agihan kupon daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) ini adalah kali kedua sempena musim perayaan supaya pengunjung pasar tani dapat menikmati potongan harga bagi pembelian barangan tertentu,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 120 peniaga menjalankan operasi perniagaan di pasar tani terbabit sebelum negara dilanda pandemik Covid-19, namun jumlah itu berkurangan kepada 88 peniaga berikutan tatacara operasi piawai (SOP) penjarakan fizikal.

Menurutnya, hanya 35 peniaga masih mengusahakan perniagaan pada minggu ini berikutan ramai yang sudah pulang ke kampung halaman untuk menyambut Syawal.

“Pasar tani ini antara yang menjadi tumpuan masyarakat sekitar kerana barangan keperluan mencukupi selain harga ditawarkan paling murah,” katanya.


Pengarang :