Sebahagian peserta MCIS Life-Malaysia Women Marathon (MCIS Life-MWM) bergambar di Padang Timur, Seksyen 2, Petaling Jaya pada 29 Mei 2022. Foto Facebook MBPJ
AGENDASUKANKINI

1,000 peserta sertai Malaysia Women Marathon

SHAH ALAM, 29 MEI: Pelancongan sukan dipromosi sejak beberapa tahun lalu membuahkan hasil apabila berjaya menarik 1,000 peserta dalam MCIS Life-Malaysia Women Marathon (MCIS Life-MWM) 2022, hari ini.

Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata acara larian kompetitif di Padang Timur, Seksyen 2, Petaling Jaya mendapat sambutan menggalakkan selepas dua tahun terhenti akibat pandemik Covid-19.

“Pelancongan sukan adalah sebahagian daripada fokus kami dalam mempromosikan pelancongan domestik.

“Tema acara ini adalah selaras dengan kempen ‘Pusing Selangor’ yang mana pelancong tempatan digalakkan untuk meneroka tempat menarik di negeri ini,” kata Azrul Shah Mohamad.

Acara dirasmikan Ketua Pengagihan dan Pemasaran MCIS Life Ragunath Murthy selain dihadiri EXCO Pelancongan Hee Loy Sian dan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah larian MWM Karen Loh berkata buat julung kali sempena ulang tahun ke-10, peserta lelaki dibenarkan mendaftar dalam kategori separuh 21 kilometer(km) dan penuh (42km).

“Ini menandakan sejarah sedekad kami kerana lelaki memainkan peranan yang sama penting dalam isu kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita,” katanya.

Johan bagi kategori wanita terbuka 42km dimenangi Loh Chooi Fern dan kategori veteran wanita dirangkul Ewe Bee Hong, manakala bagi kategori lelaki milik Muhaizar Mohamad.

Noor Amelia Musa pula mengungguli kategori wanita terbuka jarak 21km manakala kategori veteran wanita dimenangi Lee Siok Chin dan kategori lelaki 22km menjadi milik Elvis Kyalo Kisavi.

Juara siri kejohanan kali ini akan mewakili negara ke Marathon Sydney pada 18 September di Hyde Park, Sydney, Australia.

MCIS Life-MWM 2022 di Petaling Jaya adalah permulaan kepada siri seterusnya yang akan berlangsung di Ipoh dan Iskandar Puteri, Johor, pada suku ketiga serta keempat tahun ini.

 


Pengarang :