Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan orang ramai dalam Majlis Rumah Terbuka Negeri Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi, Kajang pada 17 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

10,000 pengunjung meriahkan rumah terbuka Aidilfitri di Hulu Langat

HULU LANGAT, 17 MEI: Kira-kira 10,000 penduduk Hulu Langat menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor yang diadakan di Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, di sini malam ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Mohamad turut hadir memeriahkan majlis.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim; Pegawai Daerah Dr Ani Ahmad serta barisan EXCO Kerajaan Selangor juga bersama dalam majlis terbabit.

Amirudin turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak selain meluang masa melawat gerai makanan dikendalikan 27 agensi Kerajaan Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak dalam Majlis Rumah Terbuka Negeri Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi, Kajang pada 17 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu pengunjung A Mutusamy, 61, melahirkan rasa teruja dengan majlis besar-besaran itu selepas dua tahun tiada sambutan rumah terbuka.

“Seronok bila lihat program ini mendapat sambutan. Dua tahun rakyat tidak berkumpul. Bila ada saya tak mahu lepaskan peluang,” katanya.

Majlis rumah terbuka negeri diadakan mulai Ahad lalu hingga 21 Mei ini bagi meraikan orang ramai setelah dua tahun dibatalkan akibat Covid-19.

Program tersebut membuka tirai di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor diikuti hari berikutnya di Tapak Pasar Ramadan Taman Melawati, Gombak, yang dihadiri ribuan pengunjung.


Pengarang :