Sebahagian peserta kem kesihatan anjuran pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku di SS2, Petaling Jaya pada 14 Mei 2022. Foto Lim Yi Wei
ADNBERITA UTAMASELANGOR

200 penduduk Kampung Tunku jalani saringan kesihatan percuma

SHAH ALAM, 18 MEI: Seramai 200 penduduk sekitar Kampung Tunku menyertai kem kesihatan percuma di SS2, Petaling Jaya pada 14 Mei lalu, majoriti warga emas.

Ahli Dewan Negeri Lim Yi Wei memaklumkan program bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari itu mendapat sambutan luar biasa apabila kuota dipenuhi sejam sebelum berakhir.

Menurutnya, 10 pemeriksaan kesihatan disediakan meliputi tekanan darah, glukosa, kolesterol, indeks jisim badan, analisis impedans bioelektrik, nasihat pemakanan, mata, telinga, pendengaran dan tulang belakang.

“Kakitangan dan sukarelawan bertungkus-lumus menghabiskan semua pemeriksaan untuk peserta pada jam 1 petang. Kami serba salah serta memohon maaf terhadap penduduk yang terpaksa ditolak kerana kuota penuh.

Lim Yi Wei beramah mesra dengan seorang peserta kem kesihatan di SS2, Petaling Jaya pada 14 Mei 2022. Foto Lim Yi Wei

“Kami ingin menggalakkan penduduk mengikuti di media sosial kerana lebih banyak program diadakan akan datang untuk komuniti tempatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Program mendapat kerjasama ahli majlis zon 8, Touch Community dan persatuan penduduk SS2 Selatan selain Hospital Assunta, Pusat Pakar Mata KPJ, MBA Chiropractic dan Soundlife.

Selain pemeriksaan kesihatan, Yi Wei berkata pejabat pusat khidmat masyarakat juga membantu peserta mendaftar program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Peduli Sihat.

Tambahnya semakan pengundian turut dilaksanakan bagi memudahkan peserta mengetahui Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen mengundi mereka.

“Ini bertujuan meningkatkan kesedaran bahawa umur mengundi telah diturunkan ke 18 tahun dan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik,” katanya lagi.

 


Pengarang :