EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han melepaskan 20,000 benih ikan lampan sungai di kolam Taman Rekreasi Warisan, Puchong bagi memelihara ekosistem alam sekitar pada 17 Mei 2022. Foto Facebook Ng Sze Han
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

20,000 benih ikan dilepas ke kolam, beri kesedaran pulihara ekosistem alam

SHAH ALAM, 25 MEI: Sebanyak 20,000 benih ikan lampan sungai dilepaskan di kolam Taman Rekreasi Warisan, Puchong baru-baru ini sebagai inisiatif memulihara ekosistem alam sekitar.

EXCO kerajaan tempatan berkata program julung kali itu bagi menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menternak ikan asli berbanding ikan import atau haiwan lain yang berisiko merosakkan kehidupan air.

“Pelepasan benih ikan di taman itu dilihat sesuai memandangkan lokasi terbabit menjadi hub kegiatan komuniti dan sering dikunjungi penduduk setempat.

“Kita minta penduduk yang datang bersukan atau beriadah supaya sama-sama bertanggungjawab menjaga persekitaran dan melindungi kualiti alam sekitar,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri Kinrara itu berharap agar usaha berkenaan diperluaskan lagi dan mendapat sokongan semua pihak demi memperkasakan alam sekitar.

“Anak benih ikan terbabit ditaja Jabatan Perikanan. Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar turut serta ketika melepaskan anak benih ikan,” katanya.


Pengarang :