Seorang kanak-kanak menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (3) pada 16 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

30.4 peratus kanak-kanak negara lengkap vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Sebanyak 1,079,745 atau 30.4 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah lengkap menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Menurut laman web CovidNow sebanyak 1,653,491 kanak-kanak atau 46.6 peratus daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, 2,906,702 atau 93.4 peratus telah lengkap menerima vaksinasi manakala 3,003,996 atau 96.5 peratus daripada kumpulan sama telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejumlah 16,071,981 atau 68.3 peratus golongan dewasa telah menerima dos penggalak manakala 22,971,916 atau 97.6 peratus telah lengkap dua dos dan 23,247,755 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Bagi pemberian dos harian pula, sebanyak 10,981 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam melibatkan 3,254 dos pertama, 5,266 dos kedua dan 2,461 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 70,722,028.

Menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, tujuh kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam, masing-masing satu kes di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak manakala tiga di Pulau Pinang.

– BERNAMA


Pengarang :