EXCO Pertanian Ir Izham Hashim menyampaikan sumbangan tablet kepada salah seorang warga tani pada 25 Mei 2022. Foto Ir Izham Hashim
EXCOSELANGOR

40 warga tani tiga daerah terima bantuan komputer riba, tablet

SHAH ALAM, 26 MEI: Seramai 40 warga tani di daerah Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam menerima sumbangan komputer riba dan tablet menerusi program Agro Prihatin.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata sumbangan kepada petani, penternak dan penggiat industri asas tani itu bagi meningkatkan produktiviti, kemampanan ekonomi dan modal insan sektor tersebut.

“Tujuan sumbangan ini bagi membantu mereka dan anak-anak agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi pendidikan dan juga pertanian yang begitu pantas ketika ini.

“Semoga dengan sumbangan tablet dan komputer riba ini dapat meringankan beban serta memberi peluang kepada warga tani memperbaiki kehidupan mereka pada masa hadapan,” katanya menerusi Facebook.

Izham menambah inisiatif itu juga merupakan salah satu daripada sembilan kluster dalam Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) 2021-2025.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM1.5 juta bagi melaksanakan Program Agro Prihatin dengan membeli lambakan hasil tani dan menjual semula 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di lokasi terpilih.


Pengarang :