Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Johary Anuar berucap ketika program Ihya’ Ramadan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersama Media di Hotel Sunway Resort & Spa, Subang Jaya pada 25 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

799 kes penyakit tangan, kaki dan mulut di Subang Jaya setakat 14 Mei

SUBANG JAYA, 25 MEI: Sebanyak 799 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan berlaku di Subang Jaya setakat 14 Mei lalu.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata jangkitan itu turut tidak terkecuali berlaku di taska milik penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan 17 kes sehingga hari ini.

“Kes tersebut dilaporkan berlaku di dua taska iaitu Taska USJ 3 dan Taska Kuarters Permata Sari.

“Justeru, MBSJ akan mengadakan beberapa sesi taklimat kepada warga kerja, pengasuh dan penyelia bagi mengurangkan jangkitan penyakit ini dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 5/2022 di Ibu Pejabat MBSJ di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan sejumlah 47,209 kes HFMD berlaku di Malaysia setakat 21 Mei.

Menurutnya, jumlah itu sekali gus menjadikan sebanyak 20 kali ganda peningkatan kes terbabit berbanding tempoh sama tahun lalu.


Pengarang :