Petugas kesihatan memberi suntikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

93.6 peratus remaja lengkap vaksin, kanak-kanak 32.2 peratus

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Seramai 1,142,104 atau 32.2 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 1,693,589 atau 47.7 peratus daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi kumpulan remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,911,511 atau 93.6 peratus telah lengkap divaksin, manakala 3,008,137 atau 96.7 peratus daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, 16,090,222 atau 68.4 peratus orang dewasa di negara ini telah menerima suntikan dos penggalak, 22,973,842 atau 97.6 peratus telah lengkap dua dos suntikan vaksin dan 23,250,188 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 13,331 dos harian diberikan semalam meliputi 3,050 suntikan penggalak, 4,172 dos kedua dan 6,109 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 70,855,556.

Portal Github Kementerian Kesihatan melaporkan tiga kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan dua kes di Johor dan satu kes di Perak.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :