BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Bukit Gasing tumpu beri kemudahan selesa, perkhidmatan terbaik

SHAH ALAM, 18 MEI: Pengalaman membantu Hannah Yeoh memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya pada 2008 hingga menumbangkan Barisan Nasional di Selangor membantu R Rajiv mengetahui kehendak rakyat.

Pemimpin berusia 40 tahun itu kemudian diberi kepercayaan sebagai ahli majlis selama empat tahun dan menyelami permasalahan rakyat hingga diangkat sebagai wakil rakyat Bukit Gasing.

Wartawan Mustakim Ramli menemu bual Rajiv bagi mengupas lanjut karier politiknya dan cara menyelesaikan masalah penduduk di DUN Bukit Gasing.

YB antara individu yang aktif dalam politik lebih sedekad lalu. Boleh ceritakan lebih lanjut?

Saya dilahirkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Saya belajar di universiti dalam bidang kejuruteraan dan berkhidmat dalam sektor swasta selepas tamat pengajian selama lima tahun sehingga 2008. Saya adalah sukarelawan yang membantu parti dalam pilihan raya umum (PRU) 2008 dan kita tidak jangka boleh tukar kerajaan. Apabila YB Hannah Yeoh menang, saya menjadi pegawainya selama lima tahun. Pada 2009, saya menjadi ahli majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (kini Majlis Bandaraya Subang Jaya) selama empat tahun dan dalam tempoh itu saya terbabit dalam politik sepenuh masa. Saya melalui satu penggal membantu YB Hannah, jadi sedikit sebanyak ada pengalaman dalam mengurus persatuan, kawasan, aktiviti, program dan sebagainya. Pengalaman ini membantu saya membuat keputusan, menjalankan gerak kerja apabila menjadi Ahli Dewan Negeri (ADN) pada 2013.

Pada PRU lalu, seramai 43,539 pengundi berdaftar di Bukit Gasing. Dengan Undi 18 mula diperkenal, berapa peratus pertambahan pengundi baharu di kawasan ini?

Kawasan Bukit Gasing mungkin ada pertambahan sekitar 25 peratus tetapi jumlah ini tidak banyak seperti tempat lain. Kawasan ini secara purata mempunyai bilangan warga emas yang tinggi di Selangor kerana ramai anak muda keluar berhijrah.

ADN Bukit Gasing R Rajiv memperkenal pusat penerimaan vaksin dan ujian Covid-19 yang dibuka setiap hari. Foto R Rajiv

Tempoh dua tahun pandemik amat mencabar dan pastinya warga DUN Bukit Gasing turut berdepan situasi sukar dalam tempoh itu. Boleh YB kongsikan kaedah membantu mereka?

Dalam tempoh dua tahun pandemik, saya rasa masalah utama adalah dari sudut kesihatan yang mana kita bantu untuk buat saringan Covid-19 pada harga yang murah iaitu serendah RM70 waktu kita lancar pada 2020. Kebiasaannya kos melakukan saringan RM300 ke atas. Justeru, kita berusaha bantu masyarakat dan kalau tidak, mungkin mereka tidak melakukan saringan walaupun sebagai kontak rapat. Malah, ketika kit ujian kendiri Covid-19 mula dijual, pihak kami bantu ringankan beban rakyat dengan menjual kit dengan harga antara termurah iaitu RM10 sedangkan waktu itu ada pihak yang jual RM40 di pasaran. Oleh sebab kita yang mula jual serendah itu, saya turut bantu wakil rakyat kawasan lain untuk mendapatkan stok. Lebih 2,000 penduduk menerima manfaat ini dan sehingga kini prorgam ini masih diteruskan.

Dari sudut ekonomi ketika Covid-19 pula, kita beri makanan kepada setiap keluarga yang minta bantuan selain turut beri bantuan komputer riba kepada pelajar dengan semua permohonan yang diminta dapat ditunaikan. Malah kita juga beri bantuan tambah nilai kad prabayar kepada mereka yang terkurung dalam rumah tanpa pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bantuan ini bagi memastikan mereka dapat berhubung jika menghadapi masalah. Kita juga bekerjasama dengan Open University Malaysia dengan melakukan kaunseling percuma kerana ramai yang tertekan akibat Covid-19 dan program ini juga masih diteruskan sehingga kini. Program ini tidak mengira usia, pelajar pun boleh dan warga emas pun boleh. Mereka yang selesa melakukan kaunseling secara dalam talian kita buat secara panggilan video. Mereka mahu secara bersemuka pun boleh, kita buat di pejabat secara privasi, kita tidak mahu ada yang menderita ketika PKP.

Boleh YB kongsi program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) (sebelum ini dikenali Inisiatif Peduli Rakyat) untuk membantu warga Bukit Gasing?

Penerima bantuan di Bukit Gasing tidak ramai kerana penduduk di sini tidak ramai miskin, jadi statistiknya memang kurang di Selangor. Jika penerima SMUE (Skim Mesra Usia Emas) ramai kerana ia babitkan warga emas tetapi jika bantuan yang berdasarkan pendapatan memang kurang penerima. Sejujurnya penerima SMUE yang datang ambil baucar tidak sampai 20 peratus iaitu sekitar 200 orang sahaja yang datang setiap bulan. Apabila kita minta mereka ambil, mereka suruh kita berikan kepada pihak lain yang lebih memerlukan.

Jika penerima ISP yang dilaksanakan Kerajaan Negeri tidak mempunyai ramai penerima, bagaimana pula bantuan yang disalurkan pihak YB?

Penduduk di sini tidak ramai terima bantuan, mereka lebih perlukan perkhidmatan yang terbaik dan mantap. Bagi beras mereka tidak minat, masa PKP ya ada, mereka yang ambil pun sebab betul-betul tidak dapat makanan. Kawasan Bukit Gasing didiami mereka yang berpencen, ramai yang kaya dengan sebahagian besar tinggal di rumah besar.

Jadi jika tiada bantuan disalurkan kerana tiada keperluan bagi penduduk untuk memohon, jadi apa kaedah YB gunakan bagi memastikan mereka dapat dibantu secara tidak langsung?

Inisiatif kita dalam membantu ada pelbagai buat masa ini adalah perkhidmatan van-panggilan (van-hailing) menerusi aplikasi Kumpool. Ini yang paling ‘hot’.Ketika Covid-19 kita buka pusat pemberian vaksin setiap hari tanpa cuti dan orang ramai tidak perlu perlu buat janji temu. Selain itu, kami satu-satunya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang beri subsidi telefon pintar kepada penduduk. Penduduk yang perlukan boleh beli dengan harga RM100 dan bagi yang betul-betul miskin kita bagi percuma supaya dapat kurangkan jurang digital. Buat masa ini tiada had untuk bilangan berapa ramai penerima walaupun tidak ramai yang minta mungkin malu. Kita bukan bagi telefon sahaja tetapi turut buat kelas telefon pintar di mana kita buat setiap bulan untuk ajar mereka cara menggunakan aplikasi seperti parkir pintar, Kumpool, Air Selangor dan sebagainya. Saya perkenalkan tahun lepas dan setakat ini sekitar 20 sahaja yang datang ambil telefon pintar tetapi kelas telefon ramai yang datang dengan majoriti mereka mempunyai telefon canggih tetapi tidak tahu cara menggunakannya.

R Rajiv memperkenal perkhidmatan van-panggilan (van-hailing) menerusi aplikasi Kumpool bagi kegunaan penduduk Bukit Gasing yang dilancar pada 11 April 2022. Foto R Rajiv

Berdasarkan perkongsian YB tidak nampak masalah kemiskinan di Bukit Gasing, jadi apa cabaran yang mungkin orang tidak nampak dan tahu apa yang YB hadapi di sini?

Cabaran di Bukit Gasing, penduduknya mahu perkhidmatan bertaraf dunia contohnya dengan bandingkan perkhidmatan di Selangor dengan Australia dan Singapura. Sebahagian besar mereka pernah tinggal dan ada pengalaman berada di luar negara. Jadi, mereka mengharapkan perkhidmatan yang terbaik, apabila tidak dapat yang terbaik mereka kecewa. Permintaan di sini memang cukup tinggi. Tekanan terbesar atau masalah terbesar kami ialah ketika berurusan dengan agensi kerajaan kerana perkhidmatan mereka kadangkala tidak sampai tahap yang dikehendaki rakyat. Contohnya kalau banding kerja pembersihan, kerja yang dilaksanakan di tempat lain mungkin OK, tetapi penduduk di Bukit Gasing masih tidak berpuas hati. Begitu juga dengan turap jalan, penduduk di sini mahukan kerja dilakukan dengan baik, mereka tidak mahu jalan diturap tetapi tidak rata. Begitu juga dengan keadaan taman seperti Taman Jaya yang ada tasik dan kelengkapan yang cukup baik berbanding tempat lain tetapi warga di sini mahukan lebih baik.

Jadi bagaimana YB selesaikan rungutan penduduk ini?

Kami ada satu sistem yang mana kami perlu betul-betul memahami setiap aduan yang diterima. Aduan yang diterima kena salur kepada agensi yang betul, kita cuba elak panjangkan kepada agensi yang salah kerana ia akan membuang masa dalam menyelesaikan masalah. Setiap masalah diadu kita masukkan dalam sistem untuk elak lupa. Seramai tujuh staf ditugaskan untuk mendapatkan perkembangan aduan yang dikemukakan kepada agensi terlibat. Boleh dikatakan 80 peratus aduan yang diterima melibatkan PBT antaranya berkaitan longkang, sampah tidak dikutip dan keadaan jalan berlubang.

Boleh dikatakan sukar untuk memuaskan hati penduduk Bukit Gasing. Mungkin YB ada perancangan jangka panjang buat mereka?

Penduduk kawasan di sini tidak mahu apa-apa pembangunan lagi, mereka cuma mahukan kaedah penyelenggaraan dan perkhidmatan terbaik. Selain itu, apa yang saya harapkan di sini adanya rumah mampu milik. Meskipun Kerajaan Negeri banyak membina rumah mampu milik tetapi projeknya agak jauh, jadi anak muda di sini apabila berkahwin mereka akan berhijrah ke tempat lain kerana rumah di sini mahal. Keadaan ini menyebabkan Petaling Jaya didiami golongan tua. Di kawasan saya juga banyak sekolah yang kurang pelajar dan separuh dari mereka bukan penduduk Bukit Gasing. Mereka bersekolah di Bukit Gasing kerana ibu bapa mereka bekerja sekitar kawasan ini selain mereka yang tinggal di Taman Medan. Keadaan ini berlaku kerana apa? sebab tiada orang muda di sini.

ADN Bukit Gasing memberi subsidi RM100 untuk telefon pintar secara percuma kepada mereka yang benar-benar miskin serta menyediakan kelas penggunaannya bagi mengurangkan jurang digital dalam kalangan penduduk DUN Bukit Gasing. Foto R Rajiv

Dengan segala usaha dan kerja keras yang dilakukan untuk memenangi hati rakyat, adakah YB yakin akan terpilih sekali lagi pada PRU akan datang?

Tidak boleh cakap pasti dapat sokongan. Kami perlu bekerja setiap hari untuk rakyat selagi saya mewakili mereka, mendengar suara hati mereka, bantu mereka ketika agensi kerajaan mengecewakan mereka, saya yakin mereka tetap sokong.

Apakah usaha yang digerakkan pada peringkat akar umbi bagi menarik sokongan pengundi baharu termasuk Undi 18 dan pengundi pertama kali?

Kami ada undi 18 dan mereka yang pertama kali mengundi yang berusia lebih 20 tahun. Saya harapkan mereka nampak usaha yang kami lakukan di Bukit Gasing seperti membawa perubahan dengan memperkenal Kumpool. Secara jujur bagi yang golongan berusia yang boleh mengundi tetapi sebelum ini tidak keluar mengundi, kita tidak akan tarik mereka untuk mengundi kerana mereka memang tidak berminat. Jadi fokus kita biar kepada mereka yang berminat. Bagi saya yang penting buat masa ini saya mahu pastikan adakah suara mereka diangkat dan dibawa ke pihak yang sebetulnya. Selagi saya mewakili mereka saya akan usahakan selesaikan masalah mereka.


Pengarang :