ADN Morib, Hasnul Baharuddin bercakap kepada SelangorKini ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Morib di Pekarangan MPKK Kampung Seri Jugra, Kuala Langat pada 29 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN dicadang bawa usul tambah baik sistem urus sampah dalam sidang DNS

KUALA LANGAT, 30 MEI: Timbalan speaker mencadangkan wakil rakyat membawa usul berkait usaha menambah baik sistem pengurusan sampah dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) akan datang.

Hasnul Baharuddin berkata isu tersebut menarik untuk dikupas dalam sidang yang dijangka pertengahan Ogos depan memandangkan seluruh dunia berdepan masalah mengurus sisa domestik secara sistematik.

“Baru-baru ini saya bersama Speaker Ng Suee Lim dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin serta Kampung Tunku Lim Yi Wei menghadiri sebuah program jemputan Persatuan Parlimen Komanwel di New South Wales, Australia.

“Sepanjang program itu, kami didedahkan dengan beberapa isu. Paling menarik mengenai pengurusan sampah dan bahan kitar semula yang mana ia bukan menjadi permasalahan utama di sana, sebaliknya seluruh dunia.

“Jadi kami cadangkan kepada ADN usulkan perkara tersebut dalam sidang DNS nanti supaya kita boleh tingkatkan lagi usaha pengasingan sampah terutama sisa domestik bagi memudahkan proses kitar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib di pekarangan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Jugra malam tadi.

Dalam pada itu, Hasnul yang juga wakil rakyat Morib menjelaskan isu terbabit penting untuk dibincangkan supaya ada langkah holistik diambil kerajaan persekutuan.

“Kita lihat tiada satu ‘political will’ atau kesungguhan di peringkat KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) untuk laksanakan perkara tersebut dengan berkesan,” katanya.

Selain perbincangan isu pengurusan sampah, program itu turut mendedahkan mereka dengan tatacara pengendalian parlimen, peranan dan penampilan wakil rakyat.


Pengarang :