Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Sue Lim berucap pada Demonstrasi Aman Tuntutan Pesawah di Sekinchan, Sabak Bernam pada 11 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN: Petani, mangsa ribut di Sekinchan akan dibantu

SEKINCHAN, 11 MEI: Sebanyak 10 rumah sekitar Sekinchan, di sini mengalami kerosakan akibat kejadian ribut kencang pagi tadi.

Ahli Dewan Negeri Ng Suee Lim berkata kejadian kira-kira jam 5 pagi itu menyebabkan bumbung rumah mangsa tercabut selepas diterbangkan angin selain ada yang rosak akibat dihempap pokok tumbang.

“Kejadian itu juga mengakibatkan banyak pokok padi yang hendak dituai rosak dan tumbang. Ini menyebabkan mereka menanggung kerugian besar.

“Kerajaan Negeri akan membantu mangsa-mangsa ini. Ketika ini, kebanyakan mangsa sedang membuat laporan polis,” katanya ditemui selepas mengadakan perhimpunan aman bersama kira-kira 100 petani hari ini.

Justeru, Speaker Dewan Negeri Selangor itu meminta penduduk supaya sentiasa berhati-hati berikutan masalah perubahan iklim yang sedang melanda dunia ketika ini.

Pada masa sama, beliau berkata tiada rumah terbuka Aidilfitri secara besar-besaran akan dianjurkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Kita hanya adakan majlis baraan (keraian) ke rumah ketua kampung membabitkan jumlah peserta yang sedikit. Kita bertemu penduduk secara berperingkat,” katanya.


Pengarang :