Syamsul Firdaus Mohamed Supri (kiri) menyerahkan bantuan bank makanan kepada penduduk DUN Taman Medan pada 28 Mei 2020. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat DUN Taman Medan
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Taman Medan cadang perkenal insurans bencana, elak mangsa tanggung rugi

SHAH ALAM, 17 MEI: Wakil rakyat Taman Medan bercadang memperkenalkan skim perlindungan takaful kepada penduduk sebagai persediaan menghadapi sebarang bencana.

Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata skim insurans itu akan dikendalikan organisasi berkaitan dengan tawaran kadar premium lebih rendah namun memberi pulangan tinggi.

“Sebanyak dua kali insiden banjir berlaku dalam kawasan Taman Medan iaitu pada 18 Disember dan 7 Mac lalu sehingga menjejaskan lebih 3,000 keluarga. Begitu juga beberapa kejadian kebakaran yang menyebabkan penduduk terpaksa menanggung banyak kerugian.

“Mengambil kira faktor itu, kita berasakan perlu untuk laksana skim insurans takaful. Perkara itu akan dikemukakan kepada pihak berkaitan dan insya-Allah mendapat kerjasama penduduk,” katanya kepada Selangorkini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga akan melaksanakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khusus untuk peniaga kecil secara sukarela.

“Usaha ini bertujuan meningkatkan taraf kehidupan golongan berkenaan selaras dengan hasrat untuk menambah baik kualiti perkhidmatan demi kepentingan rakyat,” katanya.


Pengarang :