BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Taman Medan giat bantu peniaga kecil, pendidikan

Syamsul Firdaus Mohamed Supri menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan meskipun baru pertama kali menyertai pilihan raya umum pada 2018. Namun, bekas imam Saidina Umar Al-Khattab di Bukit Damansara, Kuala Lumpur mahir selok-belok pentadbiran kerana pernah berkhidmat sebagai pegawai khas bekas EXCO negeri Dr Yaakob Sapari.

Wartawan Sheeda Fathil mengupas usaha pemimpin berusia 49 tahun dalam membantu peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah (B40) untuk meningkatkan taraf hidup mereka selain mempelbagai aspek lain

Bagaimanakan kerjaya terdahulu membantu melancarkan tugas sebagai wakil rakyat?

Sebelum menjadi wakil rakyat, saya berkhidmat sebagai pegawai khas kepada EXCO negeri sejak 2013 hingga 2018 dan selepas itu menjadi usahawan yang mengusahakan firma runding cara. Pada 2018, saya terpilih untuk bertanding dalam pilihan raya dan saya tidak menolak.

Apakah masalah penduduk yang berjaya diselesaikan terutama melibatkan B40 dan prasarana setempat?

Kawasan DUN Taman Medan memang agak kecil daripada segi saiz dan kepadatan penduduknya pula melebihi 110,000 orang. Ditambah pula dengan pembinaan perumahan bertingkat atau strata pelbagai jenis kategori iaitu ada pangsapuri kos rendah, pangsapuri sederhana, hal ini yang menyumbang jumlah penduduk ramai berbanding keluasan kawasan.

ADN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada warga emas di Pangsapuri Petaling Perdana pada 13 April 2021.

Cabaran untuk saya adalah bagaimana menyeimbangkan jumlah penduduk dengan keluasan kawasan Taman Medan, ia terhasil sebelum saya menjadi wakil rakyat dan sebelum kerajaan sedia ada mengambil alih, Ia juga berpunca daripada dasar Setinggan Sifar yang dibuat dengan cara agak tergesa-gesa.

DUN Taman Medan walaupun dalam sebuah bandar raya, rata-ratanya mereka dulu banyak berhijrah dari negeri lain. Penempatan tidak tersusun sehingga menimbulkan isu bagaimana kita mahu menempatkan mereka. Kita faham apabila ramai penduduk, ia menyumbang kepada usaha bagaimana untuk seimbangkan ekonomi.

Usaha yang boleh kita bantu ialah mendapatkan peluang untuk mereka memperoleh pekerjaan melalui program Kerajaan Negeri. Namun, cabaran di sini juga kebanyakan mereka tidak berminat kerja dengan orang lain dan mereka diberi peluang untuk bekerja sendiri.

Saya bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi mewujudkan usahawan kecil. Taman Medan pun terkenal dengan penjaja kecil, kita bantu di samping dasar Kerajaan Negeri yang mesra kepada peniaga-peniaga kecil.

Bagaimana Iltizam Selangor Penyayang (dahulunya Inisiatif Peduli Rakyat) membantu golongan B40 dan berapa ramai yang menikmatinya?

Inisiatif ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban penerima terutama dalam kalangan B40. Setakat ini, seramai 5,012 penduduk menerima manfaat Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor (7,794), Peduli Sihat (1,900) dan Kasih Ibu Smart Selangor (1,148).

Bagaimana pula belanjawan negeri dan pakej bantuan lain membantu penduduk?

Kerjasama antara pejabat DUN dan MBPJ banyak menghasilkan kejayaan dalam program berbentuk sosial, malah badan berkaitan kerajaan (GLC) juga banyak membantu terutama Pengrusan Air Selangor yang mana sebelum ini ada beberapa penduduk memohon untuk mereka mendapatkan pengecualian dari segi pembayaran bil air.

ADN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri menyampaikan baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas kepada ahli yang lahir pada bulan April hingga Jun pada 18 April 2022.

Malah, Air Selangor juga membantu penduduk di perumahan berstrata jika bil air tertunggak untuk mereka menjelaskan bayaran secara ansuran. Saya turut bekerjasama dengan GLC lain di Selangor termasuk Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) yang banyak membantu untuk bantuan persekolahan dan Kumpulan Darul Ehsan serta Kumpulan Perangsang.

Dalam bencana Disember lalu, apakah bantuan yang disalur kepada mangsa? Berapa ramai pula menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB)?

Pada 18 Disember tahun lalu, insiden banjir besar melanda Selangor, kawasan Taman Medan tidak terkecuali cuma tidak seteruk di kawasan lain antaranya Taman Sri Muda, Hulu Langat, Kuala Langat mahupun Pelabuhan Klang. DUN Taman Medan yang terjejas ialah Taman Medan Perjasa, Taman Sri Manja, Southsville, Taman Muara Perdana, Taman Medan Baru dan Taman Dato Harun.

Ia berpunca daripada sistem perparitan dan saliran yang ada di beberapa tempat tersebut gagal untuk dialihkan ke Sungai Klang. Tempoh insiden banjir tidak melebihi 36 jam cuma kerosakan banyak juga. Seramai 1,800 orang menerima BSB dan bantuan tidak sekadar itu sahaja. Di DUN Taman Medan, saya mengeluarkan dana untuk memberi sumbangan seperti barangan keperluan asas, makanan
bermasak, tilam dan bantal.

Isu kritikal yang ditangani dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini?

Dalam beberapa tahun, antara yang telah saya tangani ialah isu pemasangan meter individu di perumahan bertingkat yang mana sebelum ini mereka menggunakan meter pukal. Ini menimbulkan masalah apabila badan pengurusan bersama (JMB) tidak dapat menguruskannya kerana ada yang bayar dan sebaliknya.

ADN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri menghulurkan bantuan keperluan asas kepada beberapa keluarga berpendapatan rendah (B40) di Taman Medan pada 9 Ogos 2021

Justeru, kita buat rundingan dengan Air Selangor untuk beri tempoh menyelesaikan masalah itu dan alhamdulillah nampak berkesan terutama di kawasan Taman Impian Baiduri dan Taman Medan Cahaya. Saya juga sedang berusaha mewujudkan JMB di pangsapuri kos rendah supaya mereka mudah untuk berurusan sekiranya ada masalah di kediaman masing-masing.

Apakah perancangan jangka panjang untuk meningkatkan kemajuan DUN?

Untuk jangka panjang, saya rancang untuk membantu individu yang berhasrat keluar daripada garis kemiskinan terutama mereka yang ada keinginan untuk menjadi usahawan kecil. Itu fokus saya dan telah memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan beberapa organisasi peniaga supaya dapat beri ruang yang luas kepada mereka yang berminat meningkatkan taraf kehidupan.

Selain itu, proses pendidikan satu perkara yang perlu dan kita tidak boleh menolak mereka yang memerlukan pendidikan, maka saya berjaya mendapat kepercayaan beberapa institusi pengajian swasta yang menawarkan biasiswa kepada anak Taman Medan untuk sambung pelajaran, bidang pengajian berteraskan kemahiran. Seramai 100 pelajar anak Taman Medan dapat menyambungkan pengajian di Kolej Profesional Baitulmal pada 2019.  Selain itu, saya amat bersyukur kerana Unisel turut menawarkan biasiswa pengajian percuma kepada warga Taman Medan.

Bagaimana pula YB menyelesaikan isu penjaja tidak berlesen?

Seperti kita tahu, isu ini sememangnya tidak berkesudahan namun kita cuba berusaha melaksanakan program pemutihan iaitu mencari ruang untuk mereka berniaga secara sah.

Menyentuh isu politik, bagaimana pandangan YB mengenai sokongan rakyat?

Sokongan tidak boleh dijangka tetapi sekiranya rakyat berpuas hati, saya fikir tiada sebab untuk mereka tidak menyokong. Oleh itu, bagi yang mendapat manfaat pasti mereka tidak ragu-ragu untuk beri sokongan. Mengenai peluang untuk bertanding pula saya serahkan kepada parti, jika mereka berpuas hati mungkin saya bertanding lagi. Perkara ini tidak boleh dijangka kerana politik ini ia boleh berubah-ubah.

ADN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri menghulurkan dana kepada pihak pengurusan Surau Al-Hijrah untuk aktiviti pengimarahan pada 23 Mei 2019.

Namun, sekiranya saya terpilih saya akan terus mengekalkan momentum dan berusaha untuk meningkatkannya walaupun mungkin kita tidak dapat puaskan hati semua pihak. Apa yang penting niat untuk teruskan apa yang terbaik kepada rakyat.

Berapa peratuskah penambahan jumlah pengundi baharu di kawasan YB?

Ketika saya mula bertanding, jumlah pengundi ketika itu 46,000 (anggaran) dan terbaharu sudah ada sekitar 62,000 pengundi. Walaupun jumlah tidak begitu ketara, saya menganggarkan 40 peratus penambahan termasuk pendaftaran undi automatik bagi mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang masih belum berdaftar. Penambahan untuk usia 18 tahun pula saya anggarkan sekitar 9,000 orang.

Pandangan YB berhubung Undi18?

Undi18 memang satu yang sudah diluluskan dan pada pandangan saya memang boleh diterima kerana banyak negara demokrasi pun sudah mempraktiknya. Cuma yang penting untuk memberi kefahaman kepada golongan ini berhubung demokrasi, apa yang mereka faham? Kita bimbang apabila ditanya, mereka tidak tahu. Justeru, penjelasan wajar diberi di peringkat persekolahan lagi.

Apakah usaha yang digerakkan pada peringkat akar umbi bagi menarik sokongan pengundi baharu?

Bagi menarik pemuda ini, kita perlu ada pelbagai cara antaranya kerap turun ke institusi pendidikan menengah supaya mereka faham apa itu wakil rakyat dan apa tugas yang dilaksanakan selain cuba menyantuni mereka. Pelbagai aktiviti dilaksanakan antaranya berteraskan remaja seperti acara sukan dan kemasyarakatan.

Selain itu, saya juga cuba mendekati mereka dengan program e-sukan seperti yang disarankan Kerajaan Negeri supaya mereka boleh jadi sebahagian golongan yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara termasuk dasar belia yang pernah saya bahaskan dalam sidang Dewan Negeri Selangor yang lalu.

Kemunculan Muda, Pejuang dan Perikatan Nasional, adakah ia menjejaskan sokongan di Selangor?

Pandangan saya kita masih boleh bertapak dengan baik cuma rakyat kena faham apa matlamatnya, dasarnya kerana Pejuang, Muda adalah parti politik yang ditubuhkan sebenarnya untuk apa? Jika benar-benar ikhlas, boleh sahaja bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Sebagai contoh, waktu KEADILAN ditubuhkan dan menyertai pilihan raya, kita akur dan terima cabaran untuk berlawan di tempat yang sukar tetapi Muda mereka berpakat dengan Pakatan Harapan tetapi mereka mahu kerusi yang rasa senang untuk menang, itu tidak boleh dan tidak sepatutnya berlaku.


Pengarang :