Keadaan aliran trafik Lebuh Raya Utara-Selatan di Kilometer 279 Arah Selatan sesak dan bergerak perlahan ketika tinjauan pada 4 Mei 2022 berikutan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti Hari Raya Aidilfitri di Ipoh. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Aliran trafik di lebuh raya utama ke Lembah Klang masih tinggi

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Aliran trafik direkodkan masih tinggi di beberapa lebuh raya utama menghala ke Lembah Klang susulan orang ramai mengambil peluang tol percuma di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bermula tengah malam semalam hingga esok untuk pulang ke rumah masing-masing selepas cuti Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi berkata setakat 9.30 malam ini di Plus, kenderaan bergerak perlahan dari Pendang ke kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun, Gurun ke Sungai Petani, Permatang Pauh ke Perai, Kuala Kangsar ke Sungai Perak, Ipoh Utara ke Simpang Pulai dan dari Gopeng ke RnR Tapah.

Bagi aliran trafik dari arah selatan pula, peningkatan jumlah kenderaan direkodkan dari Yong Peng ke Ayer Hitam, Machap ke Kulai serta Tangkak ke Jasin dan dari Hentian Pedas Linggi ke Seremban.

Sementara itu, bagi aliran trafik dari Pantai Timur, aliran trafik tinggi berlaku di Persimpangan Bentong Timur menuju ke Bukit Tinggi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMinfotrafik .

– BERNAMA


Pengarang :