Aliran trafik kelihatan lancar di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dari Kuala Lumpur menuju ke Seremban ketika tinjauan di Plaza Tol Sungai Besi pada 29 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aliran trafik ke Lembah Klang dari arah Utara, Timur masih sesak

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Aliran trafik menghala ke Lembah Klang dari utara dan timur masih sesak setakat tengah hari ini berikutan warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas cuti Hari Raya.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kesesakan dari arah utara menuju ke Lembah Klang berlaku di Bertam menuju ke Plaza Tol Sungai Dua, dari Permatang Pauh ke Seberang Jaya dan Juru ke Plaza Tol Juru.

“Selain itu kesesakan juga dilaporkan berlaku di Bukit Tambun menuju ke Bandar Cassia, Alor Pongsu ke Bukit Merah, Changkat Jering ke Bukit Berapit, Kuala Kangsar ke Kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak sehingga ke Terowong Menora, Ipoh ke Gopeng dan Bidor ke Slim River,” katanya kepada Bernama.

Menurut jurucakap itu, aliran trafik dari pantai timur pula, kesesakan berlaku di Bentong menuju ke Plaza Tol Bentong dan selepas Plaza Tol Bentong menuju ke Bukit Tinggi.

Bagaimanapun, katanya aliran trafik bagi arah selatan ke Lembah Klang dalam keadaan terkawal berikutan kesesakan hanya dilaporkan berlaku di Sedenak menuju ke Simpang Renggam.

“LLM menjangkakan kesesakan akan berlarutan sehingga lewat malam dan pengguna dinasihatkan merancang perjalanan mereka terlebih dahulu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :