Keadaan aliran trafik Lebuh Raya Utara-Selatan di Kilometer 279 arah Selatan sesak dan bergerak perlahan berikutan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti Hari Raya Aidilfitri di Ipoh hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aliran trafik tinggi menghala ke ibu kota setakat 9 malam

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Aliran trafik di lebuh raya utama menghala ke ibu kota dilaporkan tinggi setakat 9 malam ini, namun tiada kesesakan luar biasa berlaku.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi berkata dijangkakan berlaku peningkatan kenderaan di lebuh raya menjelang tengah malam ini susulan pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bermula 7 Mei hingga 11.59 malam pada 8 Mei.

“Setakat ini, tiada kesesakan luar biasa berlaku malah aliran trafik malam ini agak berkurangan jika dibandingkan dengan pergerakan kenderaan dua atau tiga hari lepas.

“Namun kita jangkakan lebih ramai akan memulakan perjalanan balik ke kediaman masing-masing terutama menuju Lembah Klang bermula tengah malam nanti (berikutan tol percuma),” kata jurucakap itu.

Jurucakap itu menasihatkan orang ramai supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Sementara itu, laman Twitter LLM melaporkan aliran trafik tinggi di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Bukit Berapit ke kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang sejauh 4.4 kilometer dan dari Juru Auto City ke Permatang Pauh sejauh 12 kilometer.

Aliran kenderaan juga dilaporkan perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dari Bukit Berapit ke Sungai Perak sejauh 18.2 kilometer, Ipoh Utara ke Ipoh Selatan sejauh 25 kilometer, Tapah ke Bidor sejauh 4.5 kilometer dan Bidor ke Sungkai sejauh 26.3 kilometer.

– BERNAMA


Pengarang :