BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Altimet cipta lagu Selangor FC, beri inspirasi hasil jersi ketiga pasukan

SHAH ALAM, 28 MEI: Selangor FC mengumumkan pelancaran jersi ketiga pasukan untuk musim ini hasil kolaborasi bersama penyanyi dan penulis lagu terkenal, Altimet.

Menariknya, kolaborasi kali ini juga menyaksikan Altimet menghasilkan lagu bertajuk ‘Langgam Gendang Perang’ khusus untuk pasukan tersebut.

Beliau memaklumkan hasrat dan impiannya untuk berkerjasama dengan pasukan Gergasi Merah tercapai menerusi jersi ketiga serta penghasilan lagu untuk pasukan.

“Lagu ini sebenarnya sudah dihasilkan lima tahun lalu, namun saya simpan dalam arkib untuk dikeluarkan bila tiba masanya. Selangor FC dan peminat merupakan inspirasi utama karya ini terhasil.

“Dengan bantuan rakan saya Navin yang juga seorang lagi anak jati Selangor kelahiran Klang, karya Langgam Gendang Perang ini terhasil dengan dua versi iaitu Merah dan Kuning”,” katanya menerusi temubual bersama Selangor FC.

Penyanyi hip hop itu berharap jersi ketiga yang dihasilkan memberi mesej kepada pemain bahawa penyokong sentiasa berada di belakang mereka.

“Saya mahu jersi ini menjadi satu jambatan di antara Selangor FC dan para penyokong untuk bersatu.

“Kita harus jatuh bangkit bersama dan ini juga satu tanda terima kasih daripada saya dan Selangor FC kepada para penyokong,” katanya.

Jersi terbaharu ini boleh didapati menerusi laman rasmi SelangorFC.com. Sesi jualan turut diadakan bersempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 Selangor FC di Institut Pengurusan Peladang, Tanjung Karang, esok.

Selain itu jualan secara fizikal turut berlangsung di Popup Store rasmi di Pusat Latihan Selangor FC di Seksyen 5, Shah Alam dari jam 11 pagi sehingga 5 petang, pada hari sama.


Pengarang :