AGENDANASIONAL

Amaran hujan lebat, angin kencang di Lembah Klang petang ini

SHAH ALAM, 15 MEI: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor serta Kuala Lumpur sehingga 7 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya pula diramal mengalami cuaca sama sehingga 6 petang.

Agensi itu memaklumkan amaran turut dikeluarkan di Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan) dan Pahang (Bera).

Amaran sama melibatkan Negeri Sembilan (Tampin), Melaka, dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) serta beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah.

Menurut MetMalaysia amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :