Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama orang ramai dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Melawati, Kuala Selangor pada 15 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amirudin seru undi calon berwibawa, terbukti berupaya berkhidmat untuk rakyat

KUALA SELANGOR, 15 MEI: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menyeru ahli parti supaya mengundi calon yang mampu menjalankan tugas dengan baik.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar percaya pemilihan calon berwibawa membawa kebaikan kepada semua pihak terutama parti dan rakyat keseluruhan.

“Sokong calon yang beri manfaat bukan hanya peringkat cabang tetapi parti keseluruhannya. Kita datang bukan dengan tangan kosong, kita sudah buktikan bukan beri janji kosong,” katanya.

Beliau yang bertanding jawatan naib presiden berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di sini hari ini.

Selain itu, Amirudin yakin Parlimen Kuala Selangor kekal milik KEADILAN berikutan kejayaan menawan ketiga-tiga kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

“Kerusi Kuala Selangor kerap bertukar setiap kali PRU. Pada 2008, hampir semuanya kita kawal kecuali Jeram, diikuti pada 2013 hanya tinggal Ijok tanpa Jeram manakala 2018 kita kawal ketiga-tiga termasuk Jeram,” katanya.

Dalam Pemilihan KEADILAN 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai presiden untuk bagi tempoh 2022 hingga 2025 apabila menang tanpa bertanding.

Jawatan timbalan presiden menyaksikan pertandingan antara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli.

Amirudin pula antara 18 calon naib presiden termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketua Wanita Selangor Rodziah Ismail dan Ahli Dewan Negara Fadhlina Sidek pula merebut kerusi ketua wanita manakala jawatan ketua AMK menyaksikan dua bekas aktivis mahasiswa menawarkan diri iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Faizol.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama orang ramai dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Melawati, Kuala Selangor pada 15 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :