Selangorkini
Ahli parti mendaftar sebelum dibenarkan masuk mengundi dalam Pemilihan KEADILAN di Dewan Beringin Sri Gombak, Batu Caves pada 21 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Anwar umum keputusan Pemilihan KEADILAN esok, ajak bina semula kekuatan parti

PORT DICKSON, 28 MEI: Semua calon  yang bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 kali ini, diminta menerima keputusan pemilihan yang akan diumumkan esok dengan hati terbuka.

Presiden PKR yang juga ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu, bagi membina semula kekuatan parti berkenaan.

“Ya, akan umum esok, semua dah ada keputusan, kita (PKR) nak rangkul kembali kekuatan bersama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Raya Mat Moto 1.0 di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata keputusan pemilihan PKR peringkat kebangsaan dan cabang akan diumumkan pada esok (29 Mei), selepas ia ditangguhkan berikutan pemilihan semula di beberapa cabang sebelum ini.

Dalam pada itu Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sekali lagi meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk segera mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Beliau berkata pihaknya ketika ini masih menunggu keputusan Ismail Sabri, bagi menetapkan tarikh sidang khas berkenaan sebelum ia dibahaskan di Parlimen.

— BERNAMA

 


Pengarang :