Ketua pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Dewan Rakyat pada 1 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Pelaksanaan gaji minimum perlu seiring dengan kos sara hidup 

SHAH ALAM, 1 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumuman gaji minimum tidak membawa erti jika kos sara hidup terus meningkat tanpa sebarang usaha untuk menanganinya.

Menurut Ketua Pembangkang itu, ini kerana sistem sedia ada hanya menambah kekayaan golongan elit dan tidak seimbang dengan nasib serta hak pekerja.

“Ingin ditegaskan bahawa pengumuman gaji minimum oleh kerajaan tidak membawa apa-apa erti sekiranya kos sara hidup terus mencanak naik dan tidak ada langkah tuntas serta ampuh bagi menanganinya.

“Selagi sistem sedia ada hanya memperkayakan elit, maka keadilan tidak akan tertegak,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Justeru, Anwar mahu pekerja terus mendesak kerajaan untuk melaksanakan perubahan dan kesatuan sekerja diperkukuh bagi menjamin hak serta peranan golongan pekerja.

Dalam ucapan khas sempena Hari Pekerja 2022 hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa hari ini adalah hadiah kepada golongan pekerja atas dedikasi tanpa jemu dalam membangunkan ekonomi negara.

Pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei diumumkan Ismail Sabri pada 19 Mac lalu dan buat permulaan ia hanya membabitkan syarikat-syarikat besar dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).


Pengarang :