Selangorkini
Jaguh bina badan negara Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah bergambar bersama pingat emas yang dimenanginya selepas berentap di saingan akhir ‘Men’s Athletics Physique’ sempena Temasya Sukan Sea 2021 di Hanoi Sports Training and Competition Centre pada 15 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Atlet bina badan raih emas di Hanoi

HANOI, 15 MEI: Jisim otot dan simetri tubuh yang ‘mengancam’ berjaya mencuri perhatian juri membolehkan atlet bina badan negara Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah merangkul pingat emas ‘Men’s Athletics Physique’ Sukan SEA ke-31 di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi hari ini.

Juara dunia kategori Athletics Physique empat kali berturut-turut sejak 2016 yang lebih mesra disapa Mike, menewaskan empat peserta lain dengan atlet tuan rumah Tian Nguyen Minh meraih perak manakala wakil Thailand Pong Pala gangsa.

Lebih manis, kejayaan diraih Mike itu hadir pada penampilan pertamanya di Sukan SEA sekali gus membantu kem bina badan negara mencapai sasaran membawa pulang satu pingat emas pada temasya sukan dwitahunan itu.

Pada aksi final, seorang lagi atlet negara Ahmad Faiz Ariffin terlepas peluang mengiringi Mike di podium selepas menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Sementara itu, kem bina badan negara menutup cabaran di Hanoi dengan merangkul satu pingat gangsa menerusi Walvern Abdullah-Kok Gong Tai dalam kategori Pasangan Campuran.

– BERNAMA


Pengarang :