Selangorkini
Pengacara popular Awal Ashaari didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara. Foto Twitter Awal Ashaari
AGENDA NASIONAL

Awal Ashaari didakwa khianat rosakkan palang pagar, diikat jamin RM2,000

SHAH ALAM, 17 MEI: Pengacara popular Awal Ashaari mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara bulan lalu.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, membuat pengakuan itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Menurut laporan Berita Harian, suami kepada pelakon Scha Alyahya dituduh melakukan perbuatan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara dengan nilai kerugian dianggarkan RM600 pada 11.30 pagi, 16 April lalu.

Awal didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam bela Datuk M Reza Hassan yang mewakili Awal memohon pengurangan jaminan kepada RM3,000 dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan konsisten selain menyara isteri dan dua anak serta menanggung ibu bapanya yang sudah berusia.

Zhafran membenarkan jaminan RM2,000 dan menetapkan 15 Julai untuk sebutan semula kes.


Pengarang :