Bakal jemaah haji bergambar selepas selesai menerima insentif Haji Muassasah di Masjid Al-Amaniah Gombak pada 20 Julai 2017. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Bakal jemaah DUN Morib diminta mohon insentif haji di pusat khidmat

KUALA LANGAT, 30 MEI: Bakal jemaah haji sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib boleh mendapatkan borang permohonan insentif bernilai RM500 di pejabat pusat khidmat masyarakat (PKM).

Wakil rakyatnya Hasnul Baharuddin berkata pihaknya akan mengedarkan borang Insentif Haji Muassasah selewat-lewatnya dua minggu lagi selepas menerimanya daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Setakat ini permohonan untuk DUN Morib belum dibuka secara rasmi tetapi kita sudah uar-uarkan kepada bakal jemaah berhubung insentif ini.

“Kita sedang dalam proses terima borang (daripada MBI) dan jemaah boleh mohon sebaik borang tersebut dikeluarkan. Insya-Allah kita akan dapatkan maklumat segera mungkin,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib di pekarangan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Jugra di sini malam tadi.

Insentif Haji Muassasah diselaras MBI sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat negeri ini yang bakal menunaikan haji.

Antara syarat permohonan adalah individu itu mestilah warganegara Malaysia, beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) negeri ini.

Selain itu pemohon juga ditawarkan menunaikan haji dari TH bagi 1443 Hijrah atau 2022.

Jemaah haji yang layak boleh hadir ke pusat khidmat DUN masing-masing untuk pendaftaran.


Pengarang :