Seramai 18 ahli keluarga yang berkumpul menyambut Aidilfitiri di rumah bapa mereka terselamat selepas banglo didiami terbakar dalam kejadian di Seksyen 7, Shah Alam pada 7 Mei 2022. Foto ihsan bomba Selangor
AGENDANASIONAL

Banglo terbakar, 18 ahli keluarga berkumpul sambut raya terselamat

SHAH ALAM, 7 MEI: Seramai 18 ahli keluarga yang berkumpul menyambut Aidilfitiri di rumah bapa mereka di Seksyen 7, di sini terselamat selepas banglo didiami terbakar awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata ketika kejadian kira-kira jam 2 pagi, semua mangsa termasuk sembilan kanak-kanak sedang tidur namun berjaya menyelamatkan diri.

“Mangsa merupakan anak, menantu dan cucu kepada pemilik rumah. Ketika kejadian pemilik tiada di rumah.

“Kebakaran melibatkan 30 peratus daripada keseluruhan rumah dua tingkat berkenaan iaitu dua bilik tidur dan bumbung. Punca kejadian masih disiasat,” kata Norazam Khamis menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 20 minit selepas pihaknya tiba pada jam 2.14 pagi.

“Operasi memadam melibatkan 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dan BBP Shah Alam. Operasi turut dibantu anggota polis serta kakitangan Tenaga Nasional Berhad,” katanya.


Pengarang :