Dr G Gunaraj menyerah sumbangan barangan dapur menerusi program Bank Makanan DUN Sentosa kepada penduduk pada 9 Mac 2022. Foto Facebook G Gunaraj
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Bantuan Iltizam Selangor Penyayang, DUN Sentosa kenal pasti penerima layak

SHAH ALAM, 8 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sedang mengenal pasti penduduk layak menerima bantuan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang dilaksanakan selepas perayaan Aidilfitri.

Wakil rakyatnya Dr G Gunaraj berkata setakat ini separuh kuota penerima layak sudah diisi antaranya melibatkan penduduk dalam kalangan berpendapatan rendah.

“Baharu habis Ramadan dan kini kita raikan Syawal. Selepas selesai semuanya kita akan menghebahkan bantuan Kerajaan Selangor dan kenal pasti penerima.

“Kerajaan Negeri berusaha menyediakan skim membantu semua penduduk bagi memastikan kebajikan rakyat terjaga,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 18 April, Dato’ Menteri Besar memaklumkan penambahbaikan pelbagai inisiatif untuk rakyat yang dibuat menerusi program ISP akan dilaksanakan selepas perayaan Aidilfitri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lebih ramai penduduk menikmati manfaat program berkenaan yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Menerusi skim berkenaan, lebih ramai menerima manfaat antaranya inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

ISP juga menambah baik insiatif kesihatan kepada orang ramai, antaranya memperluas saringan kepada golongan lelaki bagi mengesan barah kolon.

 


Pengarang :