EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud (belakang, kanan) bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (belakang, tengah) dan ADN Ijok Idris Ahmad (belakang, kiri) meninjau Program Selangor Saring di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 22 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Barah payudara paling kerap berlaku, kesan awal melalui Selangor Saring

SHAH ALAM, 26 MEI: Penduduk negeri ini diminta membuat pengesanan awal bagi mencegah risiko barah serius melalui Selangor Saring, sebuah program saringan kesihatan percuma.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia berikutan barah payudara paling kerap berlaku di negara ini merangkumi 17.7 peratus daripada keseluruhan penyakit itu.

“Pengesanan awal boleh mencegah risiko barah serius yang pastinya memerlukan lebih banyak kos rawatan untuk kemoterapi dan sebagainya.

“Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor telah melaksanakan program Selangor Saring bagi melaksanakan pengesanan awal penyakit. Daftar sekarang untuk jalani saringan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata ujian pengesanan ditawar mengikut penilaian faktor risiko individu melalui borang saringan awal di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (Selangkah).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan selangorsaring.selangkah.my, hubungi talian Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui drsitimariah.com/talian-suka/.


Pengarang :