EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau mengunjungi kaunter Adabi Consumers Sdn Bhd yang menyertai Program Penempatan Pekerjaan 2022 di Dewan Serbaguna Ayer Panas, Setapak pada 22 Mei 2022. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

Bekas banduan, pelatih parol sertai temu duga, bantu teruskan kehidupan

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Seramai 30 bekas banduan diberi peluang untuk menyertai temu duga kerja menerusi Program Penempatan Pekerjaan 2022 anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS).

Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna Ayer Panas, Setapak itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Usahawan dan Peniaga Pusat Beli Belah Selangor.

EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau berkata buat julung kalinya program hari ini dibuka khas kepada bekas banduan dan pelatih parol dari Jabatan Penjara Malaysia.

“Inisiatif ini dibuat bagi membuka jalan untuk mengintegrasikan semula golongan ini dalam menghadapi dunia luar selepas bebas kelak dan kembali menjadi insan berguna serta berdikari.

“Kerajaan Negeri memandang serius berhubung perkara ini kerana ia adalah satu tanggungjawab komuniti yang memerlukan keprihatinan seluruh masyarakat,” katanya kepada Selangorkini.

Pada masa sama, Ganabatirau menasihatkan masyarakat supaya tidak bersikap prejudis terhadap golongan bekas banduan itu hanya kerana mereka pernah terjebak dalam kancah kesilapan lampau.

“Mereka juga wajar diberi peluang kedua untuk memperbaiki haluan hidup ke arah yang lebih murni dan disanjungi setiap lapisan masyarakat. Justeru, mari kita bersama-sama memupuk sifat berperikemanusiaan dan menawarkan platform pekerjaan kepada insan ini,” katanya.

Mengulas sama ada Kerajaan Negeri akan meneruskan program itu, Ganabatirau berkata ia akan diteruskan demi membantu lebih ramai pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

Sementara itu, Jelajah Jobcare bakal berlangsung di lokasi sama esok dan ia dibuka kepada orang ramai yang sudah mendaftar di https://uppselangor.wixsite.com/my-site.


Pengarang :