Peserta menghadiri temu duga Program Penempatan Pekerjaan 2022 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Ayer Panas, Kuala Lumpur pada 23 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekas banduan syukur dipanggil temu duga, berharap diberi peluang kedua

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Program Penempatan Pekerjaan 2022 anjuran Kerajaan Negeri dianggap peluang kedua kepada bekas banduan bagi memulakan kehidupan baru.

A Alagendran

A Alagendran, 35, berkata tempoh 10 tahun berada dalam penjara dan pusat pemulihan membuatkan dirinya rasa bersyukur kerana terdapat pihak sudi memanggilnya untuk temu duga, hari ini.

“Jujur ini program yang sangat baik, sebagai bekas banduan dan penagih, bukan mudah untuk orang menerima kami bekerja semula.

“Saya anggap ini peluang kedua buat diri saya dan saya bersyukur kepada tuhan dan rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Ayer Panas, Setapak di sini, hari ini.

Sementara itu R Elavarasan, 31, berkata ahli keluarganya gembira sebaik memberitahu dipanggil menghadiri temu duga hari ini.

“Mereka beri saya kata-kata semangat untuk saya ubah kehidupan. Saya amat berharap dapat kerja dan memberi kegembiraan kepada keluarga yang selama ini banyak membantu saya.

R Elavarasan

“Jika dapat, inilah kerja pertama saya kerana sebelum ini tiada pengalaman bekerja di mana-mana tempat, semoga saya terpilih,” katanya.

Semalam, EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau berkata seramai 30 bekas banduan diberi peluang untuk menyertai temu duga kerja menerusi Program Penempatan Pekerjaan 2022 anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS).

Beliau berkata program buat julung kalinya itu dibuka khas kepada bekas banduan dan pelatih parol dari Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Persatuan Usahawan dan Peniaga Pusat Beli Belah Selangor.

Mereka yang berninat boleh mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site.


Pengarang :