Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysa (JBPM) Selangor Norazam Khamis. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bomba bina zon darat helikopter di gunung, hutan untuk operasi menyelamat

SHAH ALAM, 24 MEI: Kawasan mendarat helikopter (helipad) sementara bakal diwujudkan di beberapa hutan dan gunung di Selangor bagi memudahkan operasi menyelamat mangsa kemalangan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata cadangan itu dibuat selepas perbincangan bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, semalam.

Menurut Norazam Khamis helipad itu dibina bagi membantu mangsa yang terlibat dengan pelbagai jenis insiden seperti lemas, sesat, kecederaan atau kematian di kawasan hutan.

“Helipad sementara ini akan memudahkan kerja menyelamat kerana sebelum ini anggota kita sudah beberapa kali terpaksa memikul mangsa dari atas gunung ke bawah yang mungkin agak sukar dan lambat.

“Justeru, kita akan mengenal pasti beberapa kawasan sesuai bersama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan mungkin seawal Julai atau Ogos ia akan diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas sesi lawatan dan perjumpaan EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor akan memberi tumpuan di kawasan pendakian popular atau yang kerap berlaku kemalangan seperti di Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Mengulas musim panas ketika ini, Norazam berkata pihaknya juga akan kerap melakukan tinjauan udara menggunakan helikopter di kawasan hutan yang berpotensi berlaku kebakaran.

“Kita jangkakan musim kemarau ini berlarutan sehingga September, susulan itu tinjauan udara akan kerap dilaksana bagi memastikan tidak berlaku pembakaran terbuka.

“Kita turut mengingatkan pekebun atau peneroka di kawasan hutan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan jika mereka ingkar tindakan tegas akan dikenakan,” katanya.


Pengarang :