EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (tengah) bergambar bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysa (JBPM) Selangor Norazam Khamis ketika melakukan kunjungan bagi rancangan penubuhan Serve Elit di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong, Shah Alam pada 24 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Bomba Selangor sambut baik penubuhan pasukan sukarelawan bantu operasi

SHAH ALAM, 25 MEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menyambut baik usaha Kerajaan Negeri menubuhkan Sukarelawan Selangor (SERVE) Elit.

Pengarahnya Norazam Khamis mengakui pihaknya memerlukan lebih ramai sukarelawan bagi membantu mempercepat dan meringankan tugas anggota dalam operasi menyelamat mangsa ketika bencana.

“Kita ada 1,700 anggota bomba di Selangor tetapi apabila berlaku bencana berskala besar seperti banjir pada tahun lalu, jumlah itu dilihat amat sedikit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis

“Justeru, kami amat memerlukan sukarelawan yang lebih ramai untuk membantu dan terima kasih Kerajaan Negeri kerana mewujudkan inisiatif seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi lawatan dan perjumpaan EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong semalam.

Menurutnya, JBPM Selangor berusaha menggunakan segala kemudahan dan kepakaran yang ada bagi membantu memberikan latihan terbaik kepada sukarelawan SERVE Elit.

“Kita telah merangka pelbagai program untuk membantu sukarelawan ini supaya mereka dapat berkhidmat sebaiknya dan dapat menjadi ‘first responder’ sebelum pihak bomba tiba di kawasan kejadian,” katanya.

Kerajaan Negeri menubuhkan SERVE Elit dengan permulaan seramai 100 sukarelawan daripada ahli SERVE bagi membantu JBPM Selangor dalam operasi menyelamat ketika berlaku bencana.

Mereka akan mengikuti latihan sepenuhnya bersama JBPM Selangor mengikut tempoh tertentu dan dijangka mula bertugas pada November tahun ini.


Pengarang :