Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat. Foto Facebook MPKL
PBTSELANGOR

Buka hotel tanpa lesen di Kuala Langat, pemilik didenda RM1,200

SHAH ALAM, 11 MEI: Pemilik sebuah hotel di Kuala Langat diheret ke mahkamah hari ini apabila menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata lelaki berusia lingkungan 40-an itu dijatuhi hukuman denda RM1,200 atau lima hari penjara oleh majistret Mahkamah Telok Datok.

“Berdasarkan fakta kes tertuduh dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan berkaitan premis hotel tanpa lesen MPKL dan disabitkan mengikut kesalahan Undang-undang Kecil 3(1), Undang-undang Kecil Hotel, (MDKL) 2007.

“Malah, tertuduh juga sebelum ini didapati mempunyai 29 rekod kesalahan kompaun,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Amirul Azizan mengingatkan kepada mana-mana individu yang mahu menjalankan aktiviti perhotelan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang MPKL.

“Pemilik hotel perlu memohon lesen sebelum menjalankan aktiviti perniagaan,” tegasnya.


Pengarang :