Usahawan kebun sayur organik Fresh Growcer, Emil Jihad, 32, (kanan) memberi penjelasan kepada pelanggannya mengenai tanaman sayuran yang segar ketika tinjauan di kebun Fresh Growcer, One Utama baru-baru ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bumbung pusat beli-belah diubah suai jadi kebun sayur organik

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Biarpun berlatarbelakangkan industri makanan dan minuman, tidak menghalang usahawan muda, Emil Jihad, 32, untuk meneroka bidang pertanian apabila menanam dan menjual sayur-sayuran organik tanpa menggunakan sebarang racun serangga perosak.

Lebih menarik, penanaman pintar secara rumah hijau itu menggunakan sistem akuaponik (gabungan ternakan ikan dan sayuran) di atas bumbung sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor yang berkeluasan kira-kira 7,000 kaki persegi.

Selain itu, kebun sayuran yang dikenali sebagai Fresh Growcer (One Utama Rooftop Farm) itu juga memberikan pengalaman yang menyeronokkan apabila pelanggan boleh memetik sendiri sayur yang masih segar untuk dibawa pulang.

Berkongsi mengenai usahanya itu kepada Bernama baru-baru ini, Emil berkata perniagaan yang dimulakan sejak Mac itu bersama seorang lagi rakan kongsinya, Tony Yong, 52, mempraktikkan konsep lestari dan mampan bagi menghasilkan tanaman yang lebih selamat apabila dimakan.

Beliau berkata penggunaan racun serangga perosak ke atas penanaman sayur-sayuran dikhuatiri membahayakan kesihatan selain banyak sayuran yang dijual di pasar didakwa bebas daripada racun, namun masih ada yang diragui kebenarannya.

“Oleh itu, di sini pelanggan yang datang boleh melihat dengan mata sendiri sistem air yang digunakan untuk tanaman sayur-sayuran dikongsi bersama dengan ternakan ikan dan sisa ikan itu pula akan menyediakan sumber makanan organik untuk sayur-sayuran secara semula jadi.

Seorang pengunjung kelihatan sibuk memilih dan memetik sendiri sayur-sayuran segar untuk dibawa pulang ke rumah ketika tinjauan di kebun Fresh Growcer, One Utama baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Sebaliknya jika menggunakan semburan racun atau baja kimia sudah tentu ikan akan mati dan ia boleh mengurangkan kandungan nutrisi sayuran yang ditanam,” katanya dan menambah rumah hijau itu turut memaksimumkan penjimatan seperti penggunaan cahaya matahari 100 peratus dan kipas ekzos sebagai pengudaraan.

Mengenai pemilihan bumbung pusat beli-belah sebagai kebun sayuran, Emil berkata ia adalah tempat strategik bagi memudahkan golongan bandar mendapatkan bekalan sayuran yang segar dengan cepat dan merasai persekitaran kebun dengan lebih dekat.

Berkongsi cabarannya pula, Emil mengakui tanaman sayuran organik memerlukan lebih penelitian berbanding tanaman secara konvensional dan perlu memastikan bekalan yang ada sentiasa dapat memenuhi permintaan pelanggan.

“Purata tumbesaran sayuran untuk mencapai tempoh matang adalah 35 hari, setakat ini kita masih lagi mampu menampung permintaan dan sayuran yang menjadi pilihan akan diberikan keutamaan dari segi jumlah tanaman berbanding sayur lain,” katanya.

Emil yang sebelum ini menetap di New York, Amerika Syarikat kembali ke Malaysia kira-kira lima tahun lepas berkata kebun sayur organik itu menawarkan pelbagai jenis sayuran antaranya bayam merah, sawi pendek, sawi bunga, salad, selasih Itali, cili padi selain ternakan ikan tilapia dan buah-buahan organik yang dibawa dari kampung.

Beliau juga berhasrat menambah lagi beberapa jenis sayur pada masa akan datang selain mahu menjadikannya sebagai pusat rujukan kepada institusi dan pelajar yang berminat menjalankan pembelajaran secara fizikal mengenai usaha yang dilakukan itu.

Sementara itu, seorang pelanggan Nazli Idrus, 40, yang tinggal di Taman Tun Dr Ismail berkata beliau mengetahui tentang kewujudan kebun sayur organik itu melalui perkongsian rakannya di media sosial yang telah mengunjunginya sebelum itu.

“Meskipun harga sayuran yang dijual di sini adalah sedikit premium, ia berbaloi kerana kita sendiri yang petik sayur dan yakin ia bebas daripada sebarang bahan kimia yang lebih banyak manfaat untuk kesihatan dan alam sekitar,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :