Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama tetamu majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Tapak Pasar Ramadan Taman Melawati pada 16 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cabang Gombak tahan uji, 80 peratus ahli kekal setia walau pemimpin lama khianat

GOMBAK, 18 MEI: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor berharap proses pemilihan parti kali ini membawa mesej penyatuan khususnya di cabang Gombak.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyatuan antara satu sama lain meskipun ahlinya berbilang kaum menjadi kekuatan kepada perjuangan parti tersebut, bukannya membawa kepada pecah-belah.

“Kita perlu tunjukkan contohnya di Gombak walaupun terdapat ahli parlimen memilih menukar haluan dan mengkhianati mandat diberi, namun 80 peratus anggota parti kekal setia dan pertahankannya sejak dipilih pada 2008.

“Ini bermakna kepimpinan dan barisan rakan-rakan terus setia dan yakin dengan garis perjuangan yang dibawa KEADILAN dan cabang Gombak mampu kekalkan pasukan walaupun diuji,” katanya dalam program Rapat Mega Cabang Gombak yang bersekali majlis rumah terbuka Aidilfitri KEADILAN di sini malam tadi.

Justeru, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar turut menyeru ahli parti supaya memberi tumpuan untuk menyelesaikan proses pemilihan parti dengan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

“Selepas pemilihan dan memilih pimpinan parti, kita berdepan dengan pilihan raya. Marilah selesaikan dengan aman dan damai.

“Alhamdulillah di Gombak tiada kes yang luar biasa dan yakin dengan semangat dan keperibadian sedia ada dapat laksana dengan baik kepada rakyat,” katanya.


Pengarang :